Sunday, November 24, 2024

Belanjawan 2025: STR RM600 golongan bujang, kategori isi rumah RM4,600

Popular

KUALA LUMPUR – Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi penerima kategori bujang dinaikkan kepada RM600 pada tahun depan berbanding RM500 tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahan peruntukan menerusi Belanjawan 2025 itu juga membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700.

“Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup. Lantaran itu, kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

“Untuk tahun 2025 kita akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion.

“Peningkatan ini terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara,”katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah juga akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan pada tahun hadapan berbanding 700,000 penerima tahun ini.

“Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara,”katanya.

- Advertisement -spot_img

Artikel Terkini