Friday, December 6, 2024

Kejutan ‘masam manis’ Belanjawan 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menbentangkan Belanjawan 2025 pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. -Foto Bernama

BELANJAWAN 2025 Malaysia Madani Ketiga terus merekod sejarah sebagai dokumen belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan kerajaan dengan nilai keseluruhan RM421 bilion.

Berteraskan pendekatan fiskal mengembang walaupun pada masa sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat, belanjawan kali ini meliputi RM335 bilion bagi perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan (RM86 bilion) dan RM2 bilion bagi simpanan luar jangka.

Segak memakai busana baju Melayu berwarna kelabu lembut, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian umum apabila membawa beg fail warna hitam bermotifkan tenunan songket Kelantan yang mengandungi teks ucapan Belanjawan 2025 untuk dibacakan dalam sidang Parlimen.

Berucap hampir tiga jam, Perdana Menteri ke-10 (PMX) itu hakikatnya mengumumkan banyak kejutan besar yang pastinya memberi impak signifikan terhadap kesejahteraan 33 juta rakyat Malaysia pada tahun hadapan.

Pengumuman terbesar yang menjadi tumpuan rakyat pastinya terarah kepada keputusan Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, sesudah rasionalisasi subsidi diesel dikuatkuasakan pada tahun ini.

Ujar Anwar, harga petrol yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 mencecah RM20 bilion pada tahun 2023.

“Kenyataan tidak dapat dimungkiri adalah bahawasanya ,warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion. Diperingatkan bahawa dana RM8 bilion ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam,” katanya.

Jaminan subsidi

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tambun itu memberi jaminan untuk mengekalkan subsidi majoriti 85 peratus rakyat marhaen, sebagaimana pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dengan anggaran berjumlah RM12 bilion.

Satu lagi kejutan menarik dalam ucapan Belanjawan 2025 adalah pengumuman Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang dinaikkan kepada lapan peratus oleh Kerajaan Madani pada tahun 2024, bakal dikuatkuasakan dengan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat.

Jelas Anwar, skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi dengan kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh berkepentingan sebelum memuatkan skop perluasan dan kadar cukai.

Tidak terhenti setakat itu, Anwar turut mengumumkan pengenalan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima pemegang saham individu bermula 2025.

Selain itu, atas tekad menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon, Anwar mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang tahun 2026.

Paling menarik, menerusi kempen gerakan ‘War On Sugar’ dilancarkan Kerajaan Madani, PMX komited mencadangkan kenaikan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.

Menepati ramalan ramai pakar ekonomi dan pengkritik pendidikan tempatan, Anwar juga menyentuh mengenai inisiatif kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi pendidikan dan kesihatan.

Sebagai contoh, beliau menegaskan kerajaan bercadang mengenakan sedikit kenaikan yuran sekolah kepada anak golongan maha kaya (T15) di sekolah berasrama penuh, sekolah sains, institusi pengajian awam dan pusat latihan teknikal bagi mengimbangi keperluan 85 peratus pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Dalam aspek penyasaran subsidi kesihatan pula, Kerajaan Madani bersedia mempertimbangkan penyediaan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit.

Melalui keseluruhan agenda reformasi cukai dan rasionalisasi subsidi, Anwar yakin kadar kutipan hasil bagi tahun hadapan diunjurkan meningkat sebanyak RM340 bilion, berbanding RM322 bilion yang dijangka dicapai pada tahun ini.

Bahkan dalam ucapan Belanjawan 2025, Anwar mendedahkan sekarang bukan masanya untuk melaksanakan projek pembangunan mega dengan belanja pembangunan merosot daripada RM90 bilion pada belanjawan tahun lalu kepada RM86 bilion.

Berita baik

Melalui langkah penjimatan dilaksanakan, Anwar berkeyakinan kerajaan mampu melaksanakan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Pengumuman itu pastinya satu berita baik kepada golongan pekerja di negara ini pada saat negara berdepan isu kenaikan kos sara hidup dan harga barangan asas yang berlarutan.

Selain itu, rakyat Sabah dan Sarawak turut menerima khabar gembira apabila Anwar mengumumkan bahawa geran khas kepada Sabah dan Sarawak akan dinaikkan kepada RM600 juta setahun mulai 2025.

Kerajaan pimpinan Anwar sebelum ini menaikkan kadar geran tersebut kepada RM300 juta untuk Sarawak, dan RM125.6 juta untuk Sabah pada tahun ini.

Kejutan gembira lain turut terarah kepada bakal pembeli rumah pertama apabila Anwar mengumumkan cadangan memberikan perlepasan cukai individu bermula RM5,000 hingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan.

Keluhan dan rungutan rakyat terhadap karenah birokrasi ketat dalam sistem perkhidmatan awam ternyata didengari Kerajaan Madani apabila Anwar berikrar orang ramai tidak lagi perlu beratur berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

Bagi tujuan itu, kerajaan akan memperuntukkan RM5 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) untuk bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia bagi melaksanakan reformasi ke atas birokrasi di semua agensi.

Untuk berita lanjut anda boleh layari artikel Sinar Premium di sini


PLKN 3.0, kenaikan STR bujang ‘hadiah istimewa’ belia

MELALUI Belanjawan 2025 dalam membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahterakan rakyat, kerajaan memahami keperluan dan kehendak belia dengan memperuntukkan sebahagian besar dana ke arah inisiatif dan program menyasarkan kemajuan individu muda.

Sebagai contoh Kementerian Pendidikan diberi peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu RM64.1 bilion demi memastikan golongan muda ini dapat mewakili kuasa penggerak di sebalik kemajuan dan pembangunan masyarakat.

Melalui pelaburan modal insan tertumpu golongan muda, kerajaan meletakkan asas untuk masa depan cerah dan mampan di mana semua individu mempunyai peluang untuk berkembang maju dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Antara kejutan terbesar buat belia dalam Belanjawan 2025 ini adalah kemunculan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal diperkenalkan semula kepada golongan muda dengan konsep dan nafas baharu.

Selain PLKN, antara inisiatif dan program yang ditekankan oleh kerajaan bagi golongan muda di dalam Belanjawan 2025 ini adalah pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Pengumuman peruntukan sebanyak RM7.5 bilion untuk TVET jelas suatu penekanan kepentingan melabur dalam program TVET, pembangunan bakat dan inisiatif tenaga kerja berkemahiran tinggi. Bidang ini penting untuk menangani jurang kemahiran, menggalakkan inovasi dan memacu pembangunan mampan.

Selain bidang kemahiran bernilai tinggi, kerajaan turut menyasarkan subsidi pendidikan kepada sekolah berasrama penuh (SBP) untuk membantu murid cemerlang dan dari keluarga susah serta pedalaman mendapatkan pendidikan terbaik.

Subsidi pendidikan RM15,000 setahun untuk murid SBP yang diberikan tanpa mengira pendapatan keluarga, boleh dikurangkan secara berperingkat bagi 15 peratus pelajar dari golongan maha kaya demi meningkatkan prasarana SBP dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Terakhir berita gembira yang paling disambut golongan belia semestinya menjurus pengumuman kenaikan nilai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi penerima kategori bujang, daripada RM600 pada tahun depan berbanding RM500 tahun ini.

Kenaikan nilai STR untuk golongan bujang yang majoritinya terdiri kelompok belia pastinya akan membantu menampung kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat, sekali gus merangsang ekonomi domestik.


Inisiatif menarik galak wanita kembali bekerja

Perhatian kerajaan dalam terus menggalakkan wanita kembali bekerja membuktikan peranan penting golongan tersebut dalam agenda pembangunan ekonomi negara.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif bagi menggalakkan golongan wanita kembali bekerja.

Antaranya Program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis) diperhebat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat sebagai usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita.

Selain itu, Program Returnship akan diperintiskan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan.

Program anjuran Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ini akan menyediakan kemudahan latihan dan kemudian menghubungkan dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja.

Kerajaan juga bercadang memberikan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan, kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.

Seterusnya, sejumlah RM470 juta dana pembiayaan disediakan oleh SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset dan seterusnya meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat.

Harga barang diramal naik tahun hadapan

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan berkemungkinan akan berlaku pada tahun hadapan memandangkan beberapa perkara yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 memberi kesan kepada pemain industri seperti peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, peniaga juga dijangka mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang susulan peningkatan gaji penjawat awam serta penyasaran subsidi petrol RON95.

“Lazimnya peniaga memang sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan harga dan wujud peluang itu kerana mulai 1 Disember ini gaji penjawat awam meningkat sebelum kenaikan gaji minimum berkuat kuasa 1 Februari 2025.

“Peniaga melihat pengguna mempunyai kuasa beli yang lebih dan mereka menaikkan harga dengan alasan terpaksa membayar gaji lebih, kos overhead selain peningkatan kos belian barang premium yang diimport serta barang-barang tersenarai bawah peluasan SST,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan peluasan skop SST secara progresif berkuat kuasa 1 Mei 2025.

Barjoyai turut tidak menolak kemungkinan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berkenaan berlaku dalam peratusan yang agak tinggi kerana peniaga akan mengambil kira kesan pengganda daripada kenaikan kos dan cukai yang mereka alami.

“Kesan berangkai berlaku di segenap peringkat perniagaan misalnya, di peringkat pengeluar kerana apabila gaji naik dan berlaku peluasan cukai, mereka akan mengalami kenaikan kos. Kenaikan kos itu akan diserap dalam harga barang.

“Apabila pemborong ambil barang itu dengan harga yang naik, barang itu akan pergi kepada peruncit dengan harga turut meningkat sebelum ia sampai kepada peniaga makanan. Peniaga makanan pula akan menaikkan harga pada kadar jauh lebih tinggi daripada kenaikan kos,” ujarnya.


Jana ekonomi domestik lebih RM15 bilion

Peningkatan bantuan tunai dan kenaikan gaji minimum kepada kumpulan miskin dijangka menjana ekonomi domestik lebih RM15 bilion, mengambil kira kesan pengganda daripada perbelanjaan bantuan serta inisiatif tersebut oleh rakyat.

Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, anggaran tersebut mengambil kira tambahan bantuan tunai yang diterima menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kenaikan jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan peningkatan kadar gaji minimum.

“Kecairan sekurang-kurangnya RM15 bilion dijangka mengalir dalam ekonomi domestik negara menerusi tambahan bantuan dan peningkatan gaji minimum kerana dari sudut prinsip ekonomi, perbelanjaan yang dibuat akan beri kesan pengganda. Ini kerana orang miskin akan menggunakan wang sumbangan dan gaji mereka untuk beli keperluan harian serta barang tempatan,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan meningkatkan peruntukan STR dan SARA kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini yang bakal memanfaatkan sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.

Ujarnya, tambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum STR yang diterima isi rumah meningkat daripada RM3,700 kepada RM4,600 manakala bagi individu bujang naik kepada RM600.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Mengulas lanjut mengenai anggaran kecairan, Baharom menjelaskan, ia sekadar berasaskan tambahan RM100 bagi STR, tambahan jumlah penerima SARA dan RM200 tambahan gaji minimum.

Perdana Menteri bersedia untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat.

‘M40 terpaksa bersaing kemudahan disediakan untuk B40’

Golongan berpendapatan sederhana (M40) berdepan dengan cabaran ekonomi apabila terpaksa bersaing dengan kumpulan berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, kumpulan ini berada antara B40 dan golongan berpendapatan tinggi (T20).

“Walaupun pembahagian golongan di Malaysia kepada B40, M40 dan T20 hanya sebagai alat mengukur ekonomi untuk membuat dasar tetapi keberadaan golongan ini (M40) kurang diberi perhatian. Kumpulan pertengahan ini terpaksa berkorban antara jurang kemudahan disediakan untuk B40 dan yang mana tidak disediakan kepada T20,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Faisol, penetapan berasaskan tingkat pendapatan gaji M40 antara lingkungan RM5,000 sehingga RM11,000 telah memberi tekanan kepada kumpulan berkenaan.

Jelasnya, jika diambil kira secara terperinci perbelanjaan asas yang dilakukan oleh M40 boleh mengakibatkan mereka dikategorikan dalam kelompok B40.

Sebagai contoh prasekolah dan taman didikan kanak-kanak (tadika), Mohd Faisol memaklumkan, kebanyakan M40 tidak berpeluang menghantar anak mereka di pusat berkenaan.

Bukan itu sahaja, beliau turut berkongsi bahawa golongan tersebut juga terpaksa membayar lebih jika mahu mengerjakan ibadah haji.