SHAH ALAM – Kerajaan akan memperkenalkan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang tahun 2026.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai itu diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon.
“Hasil daripada cukai ini akan dimanfaat untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kerangka insentif cukai kenderaan elektrik (EV) sedia ada telah distruktur supaya selari dengan hasrat untuk menggalakkan peralihan kepada kenderaan tersebut.
Katanya, pada masa ini, syarikat Perodua sedang merancang untuk mengeluarkan EV berharga di bawah RM100,000 bagi memenuhi permintaan rakyat.
“Selain itu, kerajaan juga meneruskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memberi galakan kepada penggunaan Motosikal Elektrik CKD sehingga RM2,400,” ujarnya.