KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempamerkan stamina luar biasa apabila hanya meneguk air sekali ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Ahli Parlimen Tambun yang kini berusia 77 tahun itu mengambil masa kira-kira dua setengah jam membentangkan belanjawan setebal 138 halaman.
Beliau juga dilihat hanya duduk sebentar untuk minum air dan meneruskan pembentangan dengan lancar sehingga selesai.
Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan itu di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan serta laman YouTube Parlimen.
Belanjawan 2025 merupakan belanjawan ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan Madani pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Kerajaan memperuntukkan RM421 bilion bagi Belanjawan 2025, tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM335 bilion untuk belanja mengurus RM86 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
Sebelum itu, Anwar yang memakai sepersalinan baju Melayu berwarna kelabu lengkap bersamping, tiba di lobi Dewan Rakyat pada jam 4 petang diiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Beliau turut meneruskan tradisi menggunakan hasil kreatif kraf tangan tempatan untuk membawa dokumen penting Belanjawan 2025.
Beg tersebut menampilkan hasil kerja seni tenunan songket oleh Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan manakala ia direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang yang turut menerapkan kombinasi sari pada bahagian lapisan dalamnya.
Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, rang undang-undang itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari bermula 21 Oktober, diikuti sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 November dan diteruskan dengan perbahasan di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 November.