KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju supaya kadar Bantuan Sara Hidup berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen dinaikkan kepada RM500 sebulan berbanding RM300 ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut bersetuju melanjutkan bayaran Penghargaan Khas kepada pesara dan penerima pencen terbitan mulai Januari hingga Disember 2025.
Menurutnya, pada masa sama, bagi memastikan kesiagaan penuh ATM, kerajaan memperuntuk RM5.8 bilion khusus untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu yang turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan veteran.
“Bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE-Veteran akan diperkenalkan.
“Ia khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutamanya yang punyai kelayakan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Tambah beliau, tumpuan khusus juga diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.
“Sebagai contoh, syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan,” ujarnya.