MELAKA – Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, komuniti orang kurang upaya (OKU) merayu kerajaan memberi tumpuan kepada kebajikan mereka termasuk menyerap petugas sukarelawan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sebagai pekerja tetap.Petugas sukarelawan PDK Malindo, Masjid Tanah, Mohd Faiz Husin, 37, yang juga OKU penglihatan berkata, disebabkan diuji dengan kekurangan itu, beliau sukar mencari pekerjaan yang sesuai dan akhirnya menjadi sukarelawan sejak 10 tahun lalu.Menurutnya, meskipun bertugas sebagai sukarelawan, namun tanggungjawab dipikul agak berat dalam mendidik dan menjaga golongan OKU lain yang dihantar ke PDK, bermula dari awal pagi hingga petang termasuk pada hari cuti Sabtu dan Ahad.Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pelantikan ke jawatan tetap agar dapat menikmati pelaksanaan gaji minimum RM1,700 seperti pekerja normal.”Saya hanya menerima elaun sukarelawan RM1,200 sebulan dan ia memang tidak mencukupi, memaksa saya melakukan pelbagai pekerjaan sampingan termasuk pemandu e-hailing dan pembantu dapur,” katanya.Pekerja kilang yang juga OKU masalah pembelajaran, Muhamad Ramdhan Zaini, 30, turut meletakkan harapan besar agar kerajaan dapat menaikkan Elaun Pekerja Cacat (EPC) yang kini hanya RM450 sebulan.Menurutnya, kenaikan itu sekurang-kurangnya dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, selain memberi semangat kepada OKU yang menceburi alam pekerjaan untuk lebih berdikari.”Kalaulah kerajaan dapat naikkan RM450 kepada contohnya, RM500, memang kami alu-alukan dan hargai.”Bila ada kenaikan elaun, kami akan lebih bersemangat untuk menempuh alam pekerjaan biarpun sukar, demi kelangsungan hidup seperti orang normal yang lain,” katanya.Sementara itu, pelatih kemahiran menjahit di bengkel PDK Malindo yang turut mengalami masalah pembelajaran, Muhammad Fauzan Muharam, 33, berharap agar lebih banyak peluang pekerjaan disediakan kepada golongan OKU.Menurutnya, perkara lebih penting ialah penyediaan tempat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar selepas tamat di PDK atau sekolah pendidikan khas, mereka boleh menyertai TVET dan kemudian menggunakan kemahiran itu untuk meraih pendapatan.”Saya bernasib baik ada bengkel PDK berdekatan, jadi dengan menjahit saya mendapat upah dan boleh berdikari.”Tapi macam mana dengan OKU yang tiadda peluang seperti ini? Mereka mungkin duduk di rumah dan tidak bercampur dengan masyarakat serta tidak dapat berdikari,” katanya.
Harap elaun naik, diserap kerja tetap



