Saturday, January 17, 2026

Harapan pengusaha bas sekolah

Popular

SHAH ALAM – Kerajaan perlu menghidupkan semula skim penggantian bas sekolah yang pernah diperkenalkan pada 2013 dan ditambah baik dengan pembaharuan diperluaskan meliputi pembelian bas terpakai bagi menampung kelangsungan pengusahanya.Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, kos operasi yang kian meningkat terutamanya penyelenggaraan, premium insurans serta harga kenderaan baharu telah menekan pengusaha yang majoritinya terdiri daripada syarikat kecil dan sederhana.Menurutnya, pengusaha bas sekolah amat berharap pengumuman berhubung perkara itu dapat dibuat dalam pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober ini.”Dulu skim ini yang ditamatkan pada 2014 hanya membenarkan pembelian bas baharu dengan harga RM150,000 dan kini harga sebuah bas mencecah hingga RM1 juta. Ia mustahil untuk kebanyakan pengusaha. Jika diperluaskan kepada bas terpakai yang berusia di bawah tempoh tertentu, ia lebih praktikal dan mampu dilaksanakan.”Skim itu wajar dilengkapi kadar faedah pinjaman rendah, rebat seperti RM10,000 yang pernah ditawarkan sebelum ini serta proses kelulusan yang lebih mudah tanpa birokrasi berlebihan.”Selain itu, skim berkenaan juga diharap dapat dijadikan platform untuk memutihkan lebih 100,000 pengusaha tidak berlesen yang kini beroperasi secara haram di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian.Dalam pada itu, Amali Munif menggesa agar kuota atau had liter minyak dikaji agar lebih bersesuaian dengan kadar penggunaan sebenar.Ujarnya, penggunaan minyak dalam tempoh sebulan bagi sebuah bas boleh mencecah ribuan ringgit.”Jika e-hailing boleh menikmati had kelayakan tambahan, mengapa bas sekolah tidak diberikan peluang yang sama sedangkan ia melibatkan masa depan anak-anak negara.”Buat pengusaha van dan bas sekolah, pendaftaran Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di bawah inisiatif BUDI95 yang mana pendaftaran telah dibuka mulai 15 September lalu, jadi mohonlah segera,” jelasnya.Selain itu, beliau turut mendesak kerajaan membantu menampung kenaikan premium insurans yang disifatkan terlalu membebankan.”Bermula bulan lalu, premium minimum telah naik hampir 100 peratus daripada RM25,000 kepada RM50,000.”Sedangkan statistik menunjukkan kadar kemalangan melibatkan bas sekolah sangat rendah, tidak sampai dua peratus setiap tahun, kerajaan perlu buat sesuatu untuk kami,” ujarnya.Selain itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan skim bas sekolah percuma yang ditanggung sepenuhnya kerajaan tempatan, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk radius tertentu serta beberapa agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).”Ia telah dibuat di Kuching dan Miri. Jika kerajaan serius mahu meringankan beban rakyat, skim ini boleh diperluas secara nasional dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” tambahnya.Amali turut menegaskan bas sekolah merupakan mod pengangkutan paling selamat untuk murid kerana ia melalui Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan manakala pemandu diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan.”Dengan sokongan kerajaan melalui insentif dan bantuan sewajarnya, kami mampu terus memberikan perkhidmatan terbaik, selamat dan berkualiti untuk anak-anak sekolah di Malaysia,” tambah beliau.

- Advertisement -spot_img

Artikel Terkini