SHAH ALAM – Pakar ekonomi menjangkakan sembilan perkara diberi tumpuan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, antara jangkaan utama ialah kerajaan akan mengekalkan perbelanjaan mengembang walaupun dalam masa sama terus menurunkan kadar defisit.Menurutnya, jangkaan itu dibuat berdasarkan keyakinan terhadap hasil kutipan kerajaan menerusi cukai baharu dan penyasaran semula subsidi bahan api.”Kerajaan juga dijangka akan mengurangkan perbelanjaan pembangunan bagi mengelakkan hutang baharu dan tidak terlalu tinggi.”Bagaimanapun, tumpuan akan diberikan kepada sektor utama dengan menjangkakan pendidikan bakal menerima peruntukan tertinggi diikuti kesihatan.”Memandangkan ini adalah belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), maka banyak inisiatif akan dilaksanakan mengikut pelan indikatif itu iaitu tumpuan kepada transformasi digital, tenaga hijau dan inovasi teknologi,” ujarnya kepada Sinar Harian.Tambah Ahmed Razman, perkara lebih penting ialah inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi peningkatan peluang pekerjaan dan gaji yang lebih kompetitif.Jelasnya, berkemungkinan bantuan tunai rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan ditambah kepada sekitar RM15 hingga RM16 bilion hasil penjimatan subsidi pukal yang kini disasarkan kepada kumpulan layak.”Apabila peralihan subsidi diesel, pendapatan negara mencapai RM4 bilion pada awal tahun dan STR dan SARA dapat peruntukan RM3 bilion.”Jadi saya lihat peralihan RON95 juga sekitar RM4 bilion dan tahun depan kemungkinan kerajaan dapat jimat sekitar RM8 hingga RM10 bilion untuk kedua-dua peralihan ini.”Maka dengan itu saya jangka peruntukan bantuan kepada rakyat mungkin akan dinaikkan,” jelasnya.Mengulas lanjut, beliau berpendapat, Sabah dan Sarawak dijangka menerima tambahan peruntukan besar bagi memperkukuh pembangunan luar bandar serta infrastruktur asas.Ditanya sama ada kerajaan akan memperluaskan langkah penyasaran subsidi atau tumpu aspek penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan, Ahmed Razman berkata, kedua-duanya akan berlaku serentak.Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Alam, Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, Belanjawan 2026 dijangka menekankan ketahanan sosial melalui peruntukan untuk perumahan mampu milik, kesihatan mental dan sokongan kepada warga emas.”Selain itu, kerajaan mungkin memperkenalkan insentif cukai untuk syarikat yang melabur dalam latihan pekerja tempatan atau teknologi rendah karbon, selaras aspirasi Malaysia mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.”Kerajaan juga dijangka buat pelaburan dalam modal insan melalui pendidikan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan latihan kemahiran,” katanya.
Sembilan tumpuan utama
Previous article
Next article


