Saturday, January 10, 2026

Penanda aras strategi kerajaan

Popular

PUTRAJAYA – Tumpuan terarah ke Parlimen apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2026 petang ini yang dilihat sebagai pelan kewangan paling penting menjelang fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).Dibentangkan di bawah tema ‘Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’, belanjawan kali ini dijangka meneruskan kesinambungan dasar kerajaan untuk memperkukuh ekonomi negara, mempercepat reformasi fiskal dan meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa menjejaskan kedudukan fiskal jangka panjang.Menurut jangkaan penganalisis ekonomi, jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi tahun hadapan dijangka melebihi RM430 bilion, meningkat berbanding RM421 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025.Kenaikan itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pelaburan strategik serta memperluas bantuan bersasar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, di samping menampung keperluan asas seperti kesihatan, pendidikan serta pembangunan infrastruktur luar bandar.Belanjawan kali ini juga dijangka menjadi penanda aras kepada keberkesanan strategi kerajaan dalam menyusun semula sistem subsidi antaranya mungkin membabitkan gas memasak dan minyak masak bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaatnya.Penganalisis TA Securities dalam laporannya menjangkakan hasil kerajaan meningkat kepada sekitar RM343 bilion, hasil peluasan sistem e-invois, kutipan cukai yang lebih cekap serta pelaksanaan cukai barangan mewah dan cukai sektor digital.Selain pembaharuan fiskal, kerajaan turut dijangka menumpukan kepada peningkatan gaji dan produktiviti pekerja, termasuk melalui pelaksanaan dasar gaji progresif yang sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Sumber Manusia.Dalam konteks rakyat, Belanjawan 2026 dilihat sebagai peluang untuk menilai semula keutamaan sosial kerajaan khususnya dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang masih dirasai kebanyakan isi rumah.Walaupun tiada perubahan besar dijangka dari segi cukai langsung, beberapa penganalisis menjangka kerajaan akan terus memperkukuh sistem percukaian sedia ada dan memperluas asas kutipan tanpa menambah beban kepada rakyat.Belanjawan kali ini turut dijangka menjadi medan penting bagi kerajaan menilai sejauh mana pelaksanaan pelan Ekonomi Madani memberi kesan kepada pertumbuhan dan kesejahteraan rakyat selepas dua tahun dilancarkan.Keseimbangan antara disiplin fiskal dan dasar kebajikan rakyat akan menjadi ujian utama kepada kemampuan kerajaan menyusun semula struktur ekonomi negara dalam suasana global yang semakin mencabar.

- Advertisement -spot_img

Artikel Terkini