PUTATAN – Sabah dijangka akan terus mendapat tempat paling utama menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2025 yang dijadual akan dibentang pada 18 Oktober ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup mementingkan usaha untuk membasmi dan jurang kemiskinan yang besar di Sabah.
Katanya lagi, antara 10 daerah termiskin di negara ini banyak datang dari Sabah dan ini menjadi keutamaan kerajaan Persekutuan.
“Jadi bagaimanapun keadaannya di Sabah sudah tentu akan terus mendapat tempat yang paling utama dari segi perbelanjaan Persekutuan yang saya turut usahakan ialah supaya apabila dana itu diperuntukkan ia dilaksanakan dengan baik supaya program itu berjalan dengan baik dan hasilnya dapat dituai dengan baik.
“Kalau tidak, kita akan secara berterusan mendapat peruntukkan dan kalau kita tak laksanakan dan diuruskan dengan cepat, maka masalah yang sedia ada ini akan jadi lebih teruk sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Kemas16 dan Pop25 di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan terhadap belanjawan yang akan diterima Sabah dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri nanti.
Diminta mengulas mengenai cadangan dana yang tidak habis digunakan dimasukkan ke dalam tabung amanah, Rafizi menyatakan bahawa ia adalah antara cadangan yang dibawa juga.
“Setakat ini, contohnya kerajaan Persekutuan telah buat beberapa keputusan yang besar yang tak pernah berlaku soal berapa peruntukan.
“Satunya adalah tambahan kepada geran tahunan itu pun memang jauh lebih banyak tapi yang mungkin kurang diketahui oleh rakyat contohnya kerajaan Persekutuan juga telah membuat keputusan semua projek di bawah RM50 juta sebenarnya diuruskan oleh Sabah sendiri,” jelasnya.