SHAH ALAM – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menegaskan walaupun Belanjawan 2023 tidak memberikan penekanan khusus kepada agenda pemerkasaan Melayu dan Bumiputera, namun dasar ekonomi dalam bajet itu lebih telus berbanding sebelum ini.
DDPM dalam kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya menyokong kerana selain dasar ekonomi, dapat dilihat juga hak yang sama rata diberikan.
Ujarnya, pelbagai program dalam belanjawan berkenaan, dapat membantu kebanyakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Melayu dan Bumiputera untuk terus bertahan daripada gulung tikar.
“Dasar ekonomi Kerajaan Madani itu amat kami sokong dan puji berbanding dasar ekonomi sebelum ini yang sering kali disabotaj oleh pemberi dan penerima rasuah.
“Termasuk pengkhianat yang terdiri daripada sebilangan ahli politik dan segelintir pegawai kerajaan serta pengusaha yang bersengkongkol melalui amalan salah guna kuasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, DDPM menyambut baik inisiatif kerajaan dalam membantu kumpulan PMKS melalui sokongan dan pembiayaan bernilai RM40 bilion, iaitu merangkumi perniagaan mikro, kecil serta kumpulan yang bekerja sendiri.
Ujarnya, DDPM juga menghargai langkah kerajaan dalam membantu 130,000 rakyat yang muflis untuk memulakan kehidupan semula.
“Tidak lupa juga pengampunan yang diberikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri selain potongan cukai dua peratus yang akan dinikmati PMKS.
“Selain itu, pelancaran Waqaf Madani yang akan menggabungkan aset bernilai RM1 bilion juga adalah satu tanda pengiktirafan yang memastikan waqaf akan menjadi daya pemacu untuk meningkatkan dan menaikkan taraf ekonomi umat Islam.
“Kebanyakannya Melayu dan Bumiputera, dengan menjadikannya sebagai alat ekonomi utama dalam ummah,” ujarnya.
Sehubungan itu, DDPM menyokong sepenuhnya pendekatan kerajaan sekarang bagi melaksanakan pendekatan berasaskan keperluan dalam membangun serta memperkasakan dasar ekonomi merentas kaum untuk menangani masalah kemiskinan dan kerentanan.
Katanya, ia perlu selari dengan Perkara 153 dab 160 Perlembagaan Persekutuan, di mana kerajaan masih perlu melaksanakan kaedah dan tindakan secara berkesan untuk meningkat penglibatan Melayu dan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi.