
Seluruh negara kini menantikan pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia Madani pada Jumaat ini, yang bakal menjadi dokumen penting dalam menentukan hala tuju ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Belanjawan kali ini dijangka bersifat mengembang tetapi berdisiplin, dengan pendekatan yang menyeimbangkan antara keperluan merangsang pertumbuhan dan tanggungjawab mengurangkan defisit fiskal.
Menurut laporan pra-belanjawan TA Securities, Belanjawan 2026 dijangka berjumlah RM425.5 bilion, meningkat 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya โ menjadikannya antara peruntukan tertinggi dalam sejarah negara. Daripada jumlah itu, RM341 bilion disalurkan kepada perbelanjaan mengurus, manakala RM84 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk projek pemangkin ekonomi baharu.
Segak dengan busana baju Melayu berwarna biru firus, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka sekali lagi mencuri tumpuan ketika membawa beg fail hitam bermotifkan tenunan songket Kelantan โ mengandungi teks ucapan Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat.
TA Securities dalam analisisnya menjangkakan langkah fiskal kali ini akan menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.0 peratus pada tahun hadapan.
โTumpuan utama belanjawan ini adalah kesinambungan agenda reformasi fiskal kerajaan. Defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada 2026, berbanding 4.0 peratus pada tahun ini,โ jelas laporan itu.
PENGUKUHAN HASIL DAN SUBSIDI DISASAR
Bagi memastikan kemampanan fiskal, hasil kerajaan dijangka meningkat kepada RM343.8 bilion, disokong oleh pelaksanaan e-invois mandatori, peluasan liputan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), serta kutipan cukai korporat dan individu yang lebih tinggi.
Aspek paling ditunggu-tunggu adalah perincian lanjut mengenai rasionalisasi subsidi, khususnya selepas pelaksanaan program Budi95 yang menandakan kejayaan awal penyasaran bantuan bahan api.
TA Securities menjangkakan jumlah subsidi keseluruhan kekal sekitar RM50 bilion, menunjukkan kerajaan terus berhati-hati dalam mengekang ketirisan sambil memastikan bantuan tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah.
PELABURAN STRATEGIK DAN AGENDA HIJAU
Dari segi perbelanjaan pembangunan, kerajaan dijangka menyalurkan tumpuan kepada infrastruktur, ekonomi hijau dan pendigitalan, sejajar dengan keutamaan RMK13.
Projek infrastruktur sedia ada dijangka diteruskan tanpa pengenalan projek mega baharu, manakala tumpuan akan diberikan kepada menarik pelaburan strategik bernilai tinggi melalui pengukuhan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) bagi syarikat teknologi tinggi dan inovatif.
Langkah ini turut menjadi persediaan penting bagi Malaysia menghadapi pelaksanaan Cukai Minimum Global (GMT) yang dijangka mempengaruhi landskap pelaburan antarabangsa dalam tempoh terdekat.
TUMPUAN RAKYAT DAN KESEJAHTERAAN SOSIAL
Dalam masa sama, pemerhati ekonomi menjangkakan Belanjawan 2026 akan terus mengekalkan komitmen terhadap kebajikan rakyat melalui kesinambungan Bantuan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Keperluan Rahmah (Sara) yang memanfaatkan jutaan isi rumah berpendapatan rendah.
Kerajaan dijangka turut memperincikan langkah tambahan untuk menangani kos sara hidup, termasuk kemungkinan penyemakan semula kadar gaji minimum, serta bantuan berfokus kepada sektor pendidikan dan kesihatan awam.
Inisiatif ini diharap mampu meredakan tekanan ekonomi di peringkat isi rumah, selari dengan matlamat Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan keadilan sosial.
PEMBERDAYAAN WILAYAH DAN PENJAWAT AWAM
Sektor awam turut dijangka menerima perhatian, khususnya dalam aspek penstrukturan skim perkhidmatan dan kenaikan elaun, bagi memastikan daya saing penjawat awam terus terpelihara.
Rakyat di Sabah dan Sarawak pula berkemungkinan menikmati peningkatan geran khas tahunan, seiring usaha kerajaan memperkukuh komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, tumpuan terhadap pembangunan luar bandar, digitalisasi perkhidmatan kerajaan dan reformasi birokrasi dijangka terus menjadi antara agenda utama dalam belanjawan kali ini.
HARAPAN MENJELANG PEMBENTANGAN
Menjelang Jumaat ini, tumpuan seluruh negara akan terarah ke Dewan Rakyat untuk menyaksikan pembentangan belanjawan ketiga di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Rakyat pastinya ingin melihat sejauh mana Belanjawan 2026 mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara sambil memastikan kesejahteraan sosial terus dijaga.
Dengan landskap global yang tidak menentu dan tekanan geopolitik serantau yang berterusan, dokumen fiskal ini bakal menjadi penentu sama ada Malaysia dapat mengekalkan momentum pertumbuhan mampan menjelang 2030.



