KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan beberapa projek yang dikhususkan untuk negeri Pahang seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2025 secara langsung memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri ini.
Beliau berkata, projek-projek yang diumumkan antaranya, pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, menambah baik kemudahan di Taman Negara Endau Rompin dan pencalonan UNESCO untuk tapak lombong bijih timah Sungai Lembing.
Menurutnya, turut diumumkan projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi melibatkan sungai-sungai di Pahang, pembinaan dan pembaikan jalan-jalan kampung di daerah Lipis dan pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands.
“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan Pahang sebagai negeri yang luas dengan potensi besar dalam sektor pelancongan, pertanian, dan perindustrian.
“Kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan semua inisiatif pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan impak yang maksimum,” katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Wan Rosdy mewakili rakyat negeri Pahang berbesar hati dan berterima kasih kepada kerajaan atas projek-projek yang diumumkan untuk Pahang itu.
“Saya juga merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
“Peruntukan Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion itu merupakan satu komitmen besar kerajaan dalam memastikan pembangunan yang seimbang dapat dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau, dengan adanya peruntukan itu, pelbagai projek pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, dan ekonomi dapat diteruskan dan dipertingkatkan.
“Ini tidak hanya memberi manfaat kepada rakyat dalam aspek fizikal, tetapi juga akan meningkatkan kesejahteraan sosial dan taraf hidup masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya.