KUANTAN – Peniaga kecil menaruh harapan tinggi agar kerajaan dapat menyediakan pelbagai bantuan sokongan kepada mereka untuk terus bertahan dalam perniagaan berikutan situasi ekonomi tidak menentu.
Beberapa inisiatif diharap dapat diberikan tumpuan antaranya kemudahan pinjaman, kawalan harga barang asas, dan pemberian geran atau bantuan kewangan secara menyeluruh dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Peniaga makanan, Mohd Azman Ibrahim, 40, berkata, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak bantuan kewangan dan kemudahan pinjaman yang senang diakses.
Menurutnya, kebanyakannya peniaga tidak dapat memenuhi syarat pinjaman komersial yang ketat.
“Kalau boleh, kita hendak kerajaan bantu dari segi bantuan kewangan, pinjaman, barangan keperluan untuk peniaga kecil seperti kami.
“Bila ada sokongan kewangan melalui pinjaman dan lain-lain sumbangan ia membantu kami peniaga untuk terus bertahan,” katanya ketika ditemui Bandaraya Kuantan di sini pada Khamis.
Dia yang sudah berniaga lebih 11 tahun memberitahu, kenaikan gaji penjawat awam sebagai langkah positif dan mampu meningkatkan kuasa beli rakyat.
“Bila gaji penjawat awam meningkat, mereka mungkin berbelanja lebih, dan itu mungkin akan membawa pendapatan tambahan kepada peniaga kecil seperti kami,” ujarnya lagi.
Mohd Faisal
Bagi peniaga santan, Mohd Faisal Norden, 38, berharap belanjawan kali ini dapat menyediakan bantuan berbentuk geran atau dana lain untuk peniaga kecil.
“Kita berniaga kecil-kecil, pasti hadapi pelbagai cabaran seperti harga bahan mentah semakin meningkat, jadi bantuan geran atau seumpamanya akan memberi kelegaan kepada kita,” jelasnya.
Eaddy Sham
Sementara itu, peniaga makanan, Eaddy Sham Zainul Abidin, 46, pula berharap Belanjawan 2025 dapat memberi perhatian khusus kepada kestabilan harga barang asas dan keperluan kepada peniaga kecil dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
“Barang mentah, barang kering, semua mahal belaka sekarang ini, kawal harga-harga ini. Sebagai peniaga, barang-barang ini semua kami gunakan dengan banyak dan kos menjadi tinggi sebab barang mentah harganya mahal,” katanya.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan peniaga kecil sukar bersaing apabila harga barangan asas meningkat.
“Orang yang membeli dengan kita ini bukan yang gaji tinggi, sama level dengan kita juga.
“Kalau jual mahal, tak laku sebab orang tak mampu, yang berduit itu tak apalah, tapi bagi yang pendapatan rendah, ikan goreng harga RM5 pun terasa mahal,” luahnya lagi.