Saturday, January 17, 2026

Belanjawan 2026 perlu berpaksikan rakyat bekerja

Popular

SHAH ALAM – Belanjawan 2026 diseru menjadi belanjawan untuk rakyat bekerja, khususnya golongan pekerja gig, e-hailing, p-hailing dan tenaga kerja bebas yang kini menjadi nadi ekonomi harian negara.Presiden Malaysia Economic Development Organisation (MEDO), Masrizal Mahidin atau lebih dikenali sebagai Jose Rizal berkata, dasar ekonomi negara perlu bergerak daripada pendekatan berbentuk bantuan sementara kepada strategi pemberdayaan jangka panjang yang membina kemampuan dan maruah rakyat.”Kita tidak hanya mahu ekonomi yang besar, tetapi ekonomi yang berjiwa. Belanjawan untuk rakyat bekerja mesti berakar di budaya dan berwawasan kepada kemanusiaan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.Menurutnya, Belanjawan 2026 perlu memberi tumpuan kepada lima agenda utama iaitu melindungi, memampankan, memperkasakan, memanusiakan dan membudayakan rakyat bekerja agar pembangunan negara benar-benar berteraskan manusia dan budaya bangsa.Bagi agenda melindungi, beliau mencadangkan penubuhan Dana Perlindungan Sosial Nasional Pekerja Gig melalui caruman tiga hala antara kerajaan, syarikat platform digital dan komuniti pekerja sendiri.Dana itu, jelasnya, penting untuk membina sistem perlindungan insurans pekerjaan, keselamatan sosial dan bantuan kecemasan bagi mengurangkan risiko pendapatan tidak menentu serta kemalangan kerja.Untuk agenda memampankan, beliau mencadangkan penubuhan Tabung Mikro Mobiliti dan Keusahawanan Gig (MyGIGFund) sebagai instrumen khas membantu rakyat bekerja memiliki aset produktif seperti motosikal, kenderaan atau peralatan digital melalui skim pinjaman mikro dan geran padanan.”Langkah ini penting untuk memperkukuh daya tahan ekonomi akar umbi, mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman tidak formal serta memperluas peluang keusahawanan mikro,” ujarnya.Dalam masa sama, melalui agenda memperkasakan, beliau mencadangkan pelaksanaan Program EmpowerGIG di bawah kerjasama sektor awam dan swasta bagi membina literasi digital, keusahawanan, keselamatan pekerjaan serta kemahiran komunikasi dalam kalangan pekerja gig.Jelasnya, program itu wajar disepadukan dengan inisiatif TVET, HRD Corp dan platform pendidikan digital bagi membolehkan pekerja gig meningkatkan mobiliti sosial dan pendapatan mereka.Sementara itu, di bawah agenda memanusiakan, Jose Rizal mengesyorkan pengenalan Insentif Mobiliti Rakyat Bekerja, menyerupai konsep pas My50, tetapi disesuaikan untuk pengguna e-hailing dan p-hailing bagi membantu menstabilkan kos operasi serta mengurangkan beban sara hidup.Bagi agenda terakhir iaitu membudayakan, beliau menegaskan pembangunan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada pembudayaan dan warisan bangsa.”Dasar ekonomi perlu menanam semula nilai budi, tanggungjawab, gotong-royong dan maruah kerja dalam setiap strategi pembangunan agar generasi muda bukan sahaja mencari rezeki, tetapi memahami makna bekerja sebagai ibadah dan khidmat kepada masyarakat,” ujarnya.Jose Rizal menegaskan, pembangunan ekonomi negara mesti berakar pada nilai kemanusiaan dan kebudayaan nasional agar rakyat bukan sahaja hidup, tetapi hidup bermaruah dan seimbang sebagai insan bekerja.     

- Advertisement -spot_img

Artikel Terkini