KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Menurutnya, bantuan khas itu turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen sebanyak RM250.
“Bantuan ini akan disalurkan pada bulan Februari 2025.
“Disember 2024 ada kenaikan, bulan Januari 2025 ada kenaikan, bulan Februari ada bonus. Alhamdulillah,” ujar beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berterima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta barisan tertinggi gred Turus yang menunjukkan teladan secara sukarela.
“Mereka memberi sedikit cadangan supaya sementara menerima Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini, tetapi sanggup melepaskan pelarasan gaji permulaan ini untuk menunjukkan kesediaan mereka menyokong langkah-langkah kerajaan.
“Jadi maknanya untuk Turus, tujuh peratus itu tidak akan diambil walaupun ada cadangan mereka kurang sikit saya tambah tujuh peratus kerana menteri masih potongan 20 peratus, Perdana Menteri masih belum ambil gaji. Elok Turus memberikan contoh yang baik,” katanya.