Friday, November 22, 2024

BSH naik RM200, pengorbanan veteran ATM belum diiktiraf sepenuhnya – MACVA

Popular

SHAH ALAM – Peningkatan bantuan sara hidup (BSH) sebanyak RM200 bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak mempunyai pencen menunjukkan pengorbanan besar mereka kepada negara masih belum diiktiraf sepenuhnya.

Presiden Persatuan Veteran Kaum Cina Tentera Darat Malaysia (MACVA), Datuk Lee Kwang Loc berkata, walaupun peningkatan bantuan itu merupakan suatu penghargaan namun ia masih jauh dari mencerminkan sumbangan sebenar yang telah diberikan oleh para veteran.

Beliau berkata, pihaknya telah beberapa kali berbincang dengan kerajaan mengenai isu berkaitan namun jurang pencen bagi veteran yang bersara sebelum tahun 2013 masih belum diselesaikan secara substantif.

“Tidak dinafikan kerajaan meletakkan veteran dan kakitangan awam kerajaan pada tahap yang sama dalam bajet ini tetapi identiti unik veteran belum diiktiraf sepenuhnya.

“Bagaimanapun, kami menghargai peningkatan bantuan sara hidup ini yang pastinya merupakan bantuan yang berguna bagi veteran yang benar-benar memerlukan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu, menerusi pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa BSH bagi veteran Angkatan Pertahanan Malaysia yang tidak mempunyai pencen akan dinaikkan daripada RM300 kepada RM500.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan pesara dan veteran serta menyatakan bahawa langkah itu bertujuan untuk memberikan jaminan yang lebih baik.

Menurut Kwang Loc, MACVA berharap agar kerajaan terus memberi perhatian kepada keperluan jangka panjang para veteran.

“(Ia) khususnya berkaitan isu pencen bagi mereka bersara sebelum tahun 2013, yang sepatutnya diberi layanan dan jaminan lebih adil.

“Persatuan ini percaya bahawa sumbangan veteran perlu dihormati dan disokong pada tahap yang lebih besar.

“Selain itu, diharapkan kerajaan akan mengambil langkah lebih konkrit dalam dasar-dasar masa depan untuk menyelesaikan masalah-masalah masih belum selesai ini,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Artikel Terkini