Friday, November 22, 2024

CAP sokong duti eksais minuman bergula dinaikkan, SAM kecewa NGO alam sekitar tidak diberi pengecualian cukai

Popular

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong sepenuhnya langkah kerajaan untuk meningkatkan kadar duti eksais ke atas minuman bergula secara berperingkat bermula 1 Januari tahun hadapan, pada kadar 40 sen seliter.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, inisiatif kerajaan itu adalah yang paling tepat untuk menangani masalah penyakit-penyakit yang berkaitan dengan pengambilan gula yang berlebihan, seperti diabetes dan obesiti.

“Pengumuman kerajaan yang mengisytiharkan perang terhadap gula (war on sugar) melalui peningkatan kadar duti eksais ke atas minuman bergula secara berperingkat mulai 1 Januari tahun hadapan adalah khabar ‘manis’ untuk rakyat.

“Kadar 40 sen seliter yang dikenakan adalah wajar, memandangkan Malaysia kini merupakan antara negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara selain gula adalah salah satu punca utama penyakit tidak berjangkit,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan perang terhadap gula (war on sugar) dengan mengenakan duti eksais sebanyak 40 sen seliter bagi minuman bergula, berkuat kuasa secara berperingkat bermula tahun hadapan.

Perkara itu diumumkan ketika Anwar membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, inisiatif itu juga akan membantu mengurangkan ketagihan minuman bergula dalam botol terutamanya dalam kalangan belia dan pelajar.

Dalam pada itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) turut menyambut baik beberapa aspek positif dalam pembentangan Belanjawan 2025 termasuk peningkatan peruntukan kewangan ekologi kepada negeri-negeri untuk perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar daripada RM200 juta kepada RM250 juta.

“Walaupun kami menyambut baik peningkatan ini, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk memberikan insentif kepada negeri-negeri dalam usaha mengekalkan kawasan hutan dan biodiversiti. Kami berharap peruntukan ini dapat ditambah lagi.

“Bagaimanapun, langkah pengenalan cukai karbon ke atas sektor besi dan keluli, yang merupakan penyumbang utama pelepasan karbon wajar dipuji. Ini adalah langkah yang positif,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, SAM turut menyokong langkah-langkah untuk menggalakkan masyarakat membeli peralatan elektrik yang lebih cekap tenaga.

Namun begitu, SAM menyatakan sedikit kekecewaan kerana Belanjawan 2025 tidak memberikan pengecualian cukai kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pemeliharaan alam sekitar, walaupun mereka banyak menyumbang kepada usaha tersebut.

- Advertisement -spot_img

Artikel Terkini