KOTA BHARU – Kenaikan harga barangan dapur terus menekan suri rumah, walaupun menerima bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan subsidi Rahmah yang disifatkan hanya mampu meringankan beban seketika tetapi belum memadai untuk menampung perbelanjaan bulanan.Bagi Rohani Jusoh, 45, yang menetap di Jelawat, Bachok, wang STR yang diterima hanya membantu sebahagian kecil kos barangan asas kerana suaminya, Abdullah Ariff, 56, bergantung pada pendapatan bermusim sebagai petani padi.”Duit memang ada, tetapi hasil padi hanya empat bulan sekali. Untuk barang makan sahaja sudah cecah RM1,000 sebulan, itu pun belum masuk belanja lain.”Memang kena berjimat, tapi tetap tak cukup sebab barang makin mahal,” katanya ketika ditemui pada Isnin.Menurutnya, hasil padi juga bergantung kepada keadaan cuaca. Jika berlaku kemarau atau banjir, mereka tidak mendapat hasil.”Waktu inilah perlu gunakan simpanan kalau ada, dan bergantung kepada wang STR serta berhemah berbelanja,” ujarnya.Hasanah Zakaria, 39, pula berkata, bantuan STR berjumlah RM2,000 yang diterima tahun ini sedikit melegakan, namun perbelanjaan anak-anak sekolah menelan kos yang tinggi.Katanya, mujurlah ada tambahan RM100 daripada bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterimanya.”Saya kumpul dua bulan sekali supaya nampak banyak dan boleh beli lebih banyak barang dapur.”Kami ada empat anak berusia 7 hingga 17 tahun. Kesemuanya bersekolah dan perbelanjaan bulanan sangat banyak,” katanya.Ujarnya lagi, suaminya yang berusia 46 tahun hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan yang tidak menentu.Sementara itu, Norasuria Mohd Mokhtar, 39, yang mempunyai lima anak berusia empat bulan hingga 16 tahun, mengakui bantuan kerajaan perlu ditambah, terutama untuk keluarga besar dalam Belanjawan 2026 nanti.”Saya tak boleh bekerja sebab anak ramai. Kalau kerja pun, kena bayar pengasuh dan perbelanjaan jadi lebih tinggi pula kerana kena makan di luar disebabkan tiada masa untuk memasak,” katanya.


