SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Belanjawan 2025 memberi fokus kepada keperluan rakyat miskin.
Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, kali ini kerajaan menyediakan banyak peruntukan untuk rakyat yang miskin.
“Semalam (Jumaat) Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2025.
“Kita harap segala yang dibentangkan dapat dilaksanakan dengan baik demi kepentingan rakyat khususnya golongan rakyat yang miskin,” ujarnya pada Sabtu menerusi aplikasi X.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Antara bantuan yang diumumkan oleh Anwar adalah peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kadar bantuan warga emas dan bantuan kanak-kanak keluarga miskin.
Belanjawan 2025 adalah tertinggi yang pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion untuk pembangunan tidak termasuk RM2 billion simpanan luar jangka.