Monday, November 25, 2024

Jenamakan GST kepada VAT, elak stigma kerajaan terdahulu

Popular

SHAH ALAM – Kerajaan disaran untuk menjenamakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Nilai Tambah (VAT) jika mahu ia dilaksanakan semula.

Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, GST adalah cukai yang lebih adil berbanding Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan oleh kerajaan kini.

Menurut Aimi Zulhazmi, jika GST dilaksanakan mengikut prosedur tepat maka ia akan berjaya dan tidak berhadapan kegagalan seperti pelaksanaannya pada tahun 2018.

“Ada sesetengah negara guna VAT (cukai yang sama dengan GST) dan penggunaan nama ini lebih normal kerana sewaktu GST dilaksanakan pada tahun 2018 ada pihak daripada pembangkang (kini kerajaan) menolak pelaksanaan itu.

“Cukai itu gagal (GST) bukan disebabkan politik tetapi beberapa faktor lain antaranya ia dilaksanakan pada kadar tinggi iaitu enam peratus. Ia seharusnya dimulakan pada kadar yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Interviu yang bertajuk ‘Belanjawan 2025: Tercapaikah reformasi ekonomi’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.

Program itu turut menampilkan Pengarah penyelidikan Khazanah Research Institute, Hawati Abdul Hamid sebagai ahli panel.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan hanya akan melaksanakan GST sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000 hingga RM4,000.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi memaklumkan faktor yang mendorong kegagalan GST itu juga disebabkan faktor pemahaman.

“Pelaksanaan GST ini di peringkat agensi kerajaan itu kurang sebagai contoh ketidakfahaman mengendalikan tuntutan, rebat dan tentang produk yang dikenakan GST.

“Seterusnya, dari segi peniaga yang merasakan bahawa mereka ditekan. Contohnya kalau mereka (peniaga) lambat menghantar laporan bulanan jualan, golongan itu dikenakan penalti sehingga 40 peratus. Keadaan ini tidak adil bagi mereka,” ujarnya.

- Advertisement -spot_img

Artikel Terkini