SEREMBAN – Pesara kerajaan memohon agar kerajaan memberikan tumpuan kepada kenaikan pencen, kebajikan dan kesihatan dalam Belanjawan 2026.Pesara polis, Shaari Rashid, 66, berkata, beliau berharap kerajaan mengotakan janji untuk menaikkan pencen tambahan tujuh peratus lagi pada tahun hadapan.”Harapan saya, kalau ikut perjanjian kerajaan, bulan Januari akan ada kenaikan pencen lagi.”Kerajaan sebelum ini umum kenaikan pencen sebanyak 15 peratus secara berperingkat, iaitu lapan peratus tahun ini dan tujuh peratus tahun depan.”Itu yang kita tuntut, jangan pula tidak ditunaikan,” ujarnya.Shaari turut berharap agar aspek kebajikan ditambah baik kerana ramai pesara kini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya melibatkan perubatan dan rawatan.Bagi pesara sektor kesihatan, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, 69, beliau berharap kerajaan akan membuat pembayaran pelarasan pencen seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah baru-baru ini.Selain itu, katanya, kerajaan juga disaran untuk mewujudkan sistem bantuan atau subsidi bagi menampung kos rawatan perubatan dan penjagaan warga emas serta pesara.”Kerajaan juga boleh membuka peluang pekerjaan secara sambilan, waktu kerja fleksibel atau kontrak kepada pesara profesional seperti doktor, guru, jururawat dan lain-lain,” katanya.Beliau turut mencadangkan agar kemudahan awam untuk golongan warga emas dan pesara ditambah baik, termasuk penyediaan laluan khas di fasiliti kerajaan dan swasta bagi memudahkan urusan golongan ini.Pesara tentera, Saipuddin Abdullah, 64, turut berharap isu tuntutan pelarasan gaji bagi tentera yang bersara pada tahun 2000 dan ke bawah dapat diselesaikan oleh kerajaan.”Harap apa yang kita tuntut selama ini dapat didengari. Kalau tidak dapat penuh pun, dapat sebahagian pun sudah memadai.”Tuntutan ini berkaitan pelarasan gaji yang dibawa ke mahkamah, tetapi sebenarnya kerajaan boleh buat keputusan sendiri,” katanya.Mengenai kebajikan pula, beliau mengakui bahawa banyak kemudahan telah disediakan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran termasuk bantuan pendidikan, kesihatan dan penjagaan pesara yang sakit terlantar, namun berharap ia terus ditambah baik.


