Friday, November 22, 2024

Teks ucapan penuh Belanjawan 2025

Popular

BERIKUT adalah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Belanjawan 2025.

TEMA: BELANJAWAN 2025: MEMBUGAR EKONOMI, MENJANA PERUBAHAN, MENSEJAHTERA RAKYAT

MUKADIMAH

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bernama “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2025 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Saya mulakan pembentangan Belanjawan kali ini dengan mengungkap kalimah suci firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al Baqarah, ayat 22: أخ َر َج َ ًۭ ء فَأ س َمآ ِء َمآ ن َز َل ِم َن ٱل َّ َ ًۭ ء َوأ ِنَآ َء ب س َمآ َوٱل َّ ا ًۭ َٰ ش َر أر َض فِ أْلَ َل لَ ُكُم ٱ ِذى َجعَ َّ ِ ٱل ِهۦ ِم َن ب ُمون أعلَ أم تَ نتُ َ َوأ ًۭ دا ن َدا َ َلِلِ أ َِّ ۟ ُوا ل ۖ فَ ََل تَ أجعَ ُكأم َّ ا ل ًۭ ِت ِر أزق َٰ َمَر َّ َ ٱلث “Dia yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu, dan langit sebagai binaan, dan menurunkan air dari langit, lalu dengannya dikeluarkan beraneka buah-buahan sebagai rezeki buatmu. Maka janganlah kamu menjadikan sesuatu sebagai sekutu bagi Allah, sedangkan kamu mengetahui.”

2. Imam al-Baydawi dalam tafsirnya yang tersohor “Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil” menegaskan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatur alam dengan penuh keteraturan.

Sunnatullah alam harus digarap tatkala kitaran hujan dari langit menjadi prasyarat penting yang menyuburkan tanaman dan memberikan banyak manfaat kepada manusia.

Semuanya diciptakan Allah SWT agar manusia memerhati, merenung, mempelajari, mengolah dan menguruskannya dengan penuh amanah. Tanpa ketinggian ilmu, hikmah dan usaha terancang, kita tidak akan mampu meraih manfaat daripada bumi bertuah ini.

3. Maka kita harus mentadabbur pedoman agung Qurani yang penuh berhikmah ini. Disulami perintah syukur atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT, al-Quran menegaskan betapa pentingnya mewujudkan ekosistem yang mantap dan lestari serta urustadbir yang cekap bagi menguruskan kekayaan sumber alam secara adil dan saksama. “The virtue of wealth is not to have it but to use it rightly.” (Aristotle; Etika Nicomachus, Buku IV) Tuan Yang di-Pertua,

4. Sebelum saya membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan setingginya kepada semua Ahli Yang Berhormat atas sokongan padu yang bersejarah yang dicapai semalam yang memberikan beberapa implikasi positif lagi bermakna. Pertama, ia bukti permuafakatan yang kukuh antara Ahli-ahli Yang Berhormat. Kedua, pengiktirafan kepada kaum ibu dan hak kanakkanak.

5. Seterusnya, dengan rasa penuh tanggungjawab kepada negara dan rakyat, saya berdiri di Dewan yang mulia ini bagi membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 yang tercerna dari usaha gigih para perencana setelah mengambil kira tantangan serta ketidaktentuan global yang semakin mengganas.

6. Belanjawan yang bakal terhampar ini pastinya akan mencakup serta mencerminkan cita murni rakyat yang mendambakan sebuah tatanan yang berketerampilan, mampan dan inklusif.

7. Dalam merangka prakarsa ekonomi, pertimbangan asasi terpasak kepada keperluan mengadakan reformasi untuk menjamin pertumbuhan. Pertimbangan dunia sekarang membicarakan pertumbuhan yang rancak tapi tidak boleh terlepas dari usaha bagi merungkai permasalahan kesenjangan dan kemiskinan yang kian melebar.

8. Justeru, kerangka pokok adalah untuk memacu pertumbuhan yang lebih segar mengambil kira perkembangan dan cabang pembelajaran yang baru serta tuntutan zaman tetapi mesti tidak terlepas dari tonggak utama, yakni untuk menjamin keselesaan rakyat melalui pendidikan dan kesihatan. Itulah juga menjadi sebahagian besar kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang telah kita luncurkan, dan kita bertekad serta beriltizam untuk meneruskan agenda reformasi. Kunjungan Menemui Rakyat Lahad Datu, Sabah

9. Saya ke FELDA Lahad Datu dua bulan lalu dan memantau daerah yang pernah terancam dengan pencerobohan pengganas di Tanduo. Segar kembali kisah insiden tersebut; pengorbanan perajurit, dukungan dan kesabaran rakyat. Perajurit dari Semenanjung terkorban seperti juga perajurit dari Sabah dan Sarawak yang terkorban di Semenanjung. Masalah tanah adat berbangkit dan berakhir dengan penyelesaian kepada penduduk Tambisan. Saya turut berjanji kita memenuhi keperluan SK di sana. Pasar Siti Khadijah, Kelantan

10. Saya berkunjung ke Pasar Siti Khadijah bagi melihat sendiri keadaan pasar yang daif dengan beberapa masalah asas seperti bumbung, tandas, bekalan elektrik dan air yang terus menghimpit warga dan peniaga selain ancaman dari masalah banjir. Namun, semangat mereka tetap cekal dan kuat. Dan inilah satu-satunya peniaga di pasar yang menyatakan bahawa barangan yang mereka perolehi adalah murah akibat ringgit yang menguat dan bekalan dari Thailand dianggap murah. Kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak 5.5 juta ringgit bagi menambah baik keadaan pasar ikonik tersebut. Kapit, Sarawak

11. Lawatan saya ke Kapit baru-baru ini adalah bagi meninjau kemajuan beberapa projek pembangunan termasuk IPD Kapit dan jalan. Kapit merupakan daerah yang terpencil dan miskin. Namun, saya terharu saat disapa seorang ibu dari desa berhampiran yang hadir hanya untuk menghadiahkan kepada saya sehelai vest yang dibuat dari manik yang ditenun sendiri. Ketua masyarakat Iban menyerahkan pakaian tradisional yang amat mengesankan buat saya. Di akhir acara, saya berkunjung ke Rumah Panjang Robert, Nanga Sebatu untuk ketemu pimpinan, tuai rumah selain masyarakat setempat. 2 juta ringgit telah diluluskan bagi kerja-kerja menangani permasalahan hakisan tebing Sungai Rajang yang berdekatan rumah panjang tersebut. Alor Setar, Kedah

12. Musibah banjir lazimnya turut memusnahkan tanaman. Malah, yang paling terkesan adalah keluarga miskin yang sering kali menetap di kawasan pinggir sungai. 13 juta ringgit telah disediakan bagi membaiki infrastruktur dan kemudahan asas yang terjejas, selain bantuan buat warga yang terkesan. Kunjungan menemui rakyat di akar umbi mengesankan. Malah, ______ saya memahami masalah rakyat dan dalam merangka Belanjawan pada tahun ini, kita menyaksikan sendiri permasalahan rakyat akibat hakisan dan banjir; pendidikan; kesihatan dan dampak sosial. Permasalahan yang ketara ini, jika ditelusuri, adalah microcosm dari permasalahan yang lebih luas. Walhasil, selain dari prakarsa ekonomi makro yang diolah dalam Belanjawan, pandangan kritis adalah bagaimana dasar yang mantap, kerangka yang canggih akan menjamin.

13. Justeru, bagi memaknai Ekonomi MADANI, dasar-dasar yang mengkhususkan kepada maksud tersebut menyusul sebagai ikhtiar mengemudi Malaysia ke landasan tepat dan gagah.  Pertumbuhan serta pemerataan ekonomi diatur seperti di bawah:

o Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP);

o Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR);

o Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS); o Pelan Tindakan KL20; dan o Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera.

 Kebijakan fiskal dipandu melalui: o Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal;

o Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta; dan

o Penyasaran subsidi.

 Tatakelola dan integriti diangkat dengan:

o Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional;

o Pindaan Akta Audit 1957; dan

o Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi.

14. Dalam suasana ekonomi dunia yang rencam kini, Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin bagi memastikan ekonomi negara kekal teguh dan berdaya saing, selain punyai fundamentals yang kukuh bagi menepis sebarang gejolak yang mampu menggoncang sistem ekonomi negara.

15. Di samping itu, apa yang kita usulkan kini adalah untuk menangani isu kelas bagi menjawab permasalahan kemiskinan dan kesenjangan. Dan sekiranya kita berjaya menangani hal ini dengan bijak dan berhemah, maka pastinya kita dapat mencapai kesaksamaan lantas dapat menyatukan keseluruhan kaum di bumi bertuah ini.

16. Pemenang Hadiah Sains Ekonomi untuk tahun 2025 dianugerahkan kepada Daron Acemoglu, Simon Johnson, dan James A. Robinson; tiga sosok yang diiktiraf kerana berupaya mengesahkan dan memperakui apa yang pernah dihujahkan oleh pakar ekonomi Perancis Thomas Piketty pada sedekad lalu mengenai kesenjangan yang kian parah dan ketara.

17. Mereka mengusulkan reformasi, yakni reformasi yang telah saya gerakkan semasa kali pertama menjawat jawatan Menteri Kewangan lebih dua dasawarsa yang lalu, dan saya masih kekal teguh dan konsisten di jalur ini. Sementara yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan terus 9 tenggelam dalam lembah kemiskinan. Justeru, penghargaan setingginya kepada ketiga-tiga mereka kerana berjaya memecahkan tembok usang tersebut dan menekankan betapa reformasi mesti disegerakan.

18. Negarawan Rom Kuno Marcus Tullius Cicero menyatakan, “prosperity demands of us more prudence and moderation than adversity”. Menyemangati maksud itu, maka untuk kembali meletakkan tatanan ini ke landasan yang tepat, kita mesti berhemah dalam soal perbelanjaan negara sementara kita memahami bahawa adalah kelaku biasa di mana-mana negara bekas penjajah untuk “spend big to win big” tanpa mengambil peduli mengenai dampak jangka masa panjang kepada negara. Walhasil, kemakmuran yang dicapai akhirnya tidak diragukan lagi menjadi tidak mampan dan bersifat sementara seraya hutang terus membengkak untuk dibeban dan ditinggalkan kepada generasi akan datang.

19. Lantaran itu, kita berusaha untuk mengelak pembaziran dan ketirisan dengan gigih dan sama sekali tidak akan membiarkan rakyat menderita akibat dari kekurangan serta kekangan yang ada.

20. Biarpun demikian, Malaysia kini berada di persimpangan yang terpenting. Meski ekonomi dunia berdepan cabaran yang terus mengasak tanpa henti, namun dengan dasar serta kebijakan yang telah digerakkan, Malaysia berjaya menarik beberapa pelaburan besar yang strategik yang akan menjamin kemakmuran yang berpanjangan buat negara.

21. Atas semangat yang sama, Kerajaan, melalui Belanjawan kali ini akan memberi lebih penekanan terhadap usaha pemulihan ekonomi, menguasai aspek inovasi, selain memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama. Dengan tumpuan tersebut, maka, ia secara tidak langsung akan memperkukuh iltizam negara dalam membina serta membangun masa depan yang hijau, digital, dan berdaya tahan (resilience) sambil terus membela warga yang lemah dan melarat supaya tidak ada yang terpinggir dalam usaha menggapai status negara berpendapatan tinggi (high income nation).

22. Saat mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Kerajaan MADANI menetapkan satu halatuju yang jelas bahawa ketelanjuran lalu tidak harus dipertahankan dan diulangi. Maka, prinsip tatakelola yang baik (good governance) mesti terus mengakar dan disemarakkan.

23. Kita tidak mahu bahawa pimpinan dan para petinggi politik, pengusaha, penjawat awam, rakyat dilihat terpisah dari kerangka mengangkat martabat rakyat. Ini bukan Belanjawan Kementerian Kewangan semata, tetapi ini adalah Belanjawan rakyat. Justeru, saya ingin merangkul seluruh kekuatan rakyat sepertimana yang pernah saya lontarkan sebelum ini bahawa tidak pernah kita punyai kesempatan terbaik untuk melakar agenda memperkasa ekonomi dan mengangkat martabat rakyat seperti yang kita saksikan sekarang. Negara harus terkenal dengan contoh tatakelola yang baik, pimpinan yang punya nilai, dan yang tidak menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjaga lingkungan. Dengan penuh tawaduk saya membentangkan Belanjawan ini agar dihadham maksud dan manfaatnya buat rakyat dan negara.

PENCAPAIAN DAN TANTANGAN EKONOMI

24. Meskipun ekonomi dunia serba galau dek hiruk-pikuk geopolitik tidak berkesudahan; kedudukan ekonomi negara kalis tantangan dan terus mengukuh.

 Pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus, ketimbang 4.2 peratus suku pertama.

 Pengangguran setakat Ogos 2024 menurun kepada 3.2 peratus, kadar ini terendah sejak Januari 2020.

 Tahap inflasi Ogos 2024 turun 1.9 peratus setelah tiga bulan berturut-turut berada pada paras 2 peratus. Namun, kita tidak berganjak dalam hal meredakan kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

 Kita mencipta sejarah tahun lalu apabila meraih pelaburan diluluskan 329.5 bilion ringgit – tertinggi pernah direkodkan. Bagi separuh pertama 2024, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan 160 bilion ringgit, melonjak ketimbang 135.6 bilion ringgit.

 Ringgit diiktiraf salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di dunia. Kesungguhan semua pihak berjaya mengukuhkan ringgit 14.4 peratus ketimbang dolar Amerika dalam suku ketiga 2024; pencapaian terbaik sejak tahun 1973.

 Sejarah tercipta tahun ini apabila nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi melepasi 2 trilion ringgit selain Indeks Bursa FBM KLCI kembali melepasi 1,600 mata.

 Kita berjaya kekalkan taraf kredit berdaulat oleh Moody’s, S&P Global dan Fitch masing-masing pada A3, A- dan BBB+ dengan tinjauan “stabil”.

 Firma terkemuka global turut meningkatkan taraf pasaran saham Malaysia iaitu JP Morgan kepada taraf (neutral), HSBC (neutral), Goldman Sachs (neutral) dan Nomura (wajaran tinggi).

25. Prestasi ekonomi mengatasi jangkaan, sama ada dari segi pertumbuhan, pelaburan dan nilai ringgit; mengambarkan keyakinan pelabur dan kejayaan awal daripada langkah pembaharuan Ekonomi MADANI. Dengan itu, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 hingga 5.3 peratus; ketimbang antara 4 ke 5 peratus sebelumnya. Malah, Bank Dunia juga menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 4.9 peratus, ketimbang 4.3 peratus April lalu.

26. Tahun hadapan, kita yakin ekonomi negara berkembang kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus, didukung langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025.

27. Tidak dimungkiri kenyataan bahawa kejayaan-kejayaan ini selain dari perkembangan serantau dan dasar-dasar fiskal. Namun, kita tidak boleh khayal dengan kejayaan-kejayaan ini seandainya kita menyimpang daripada komitmen atau iltizam kepada agenda reformasi. Budaya selesa, culture of complacency mesti dihentikan.

28. Maka, Belanjawan MADANI Ketiga akan menghimbau:

 perihal menelusuri Ekonomi MADANI;

 perihal mengislah lebih tegas;

 perihal menghapus kerenah birokrasi;

 perihal menaikkan gaji dan pendapatan;

 perihal menangani kos sara hidup.

29. Walhasil, segala ikhtiar yang dibentang hari ini adalah untuk menyusul setiap penanda aras Ekonomi MADANI dengan tiga tumpuan iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.

I. MENJANA PERUBAHAN KE PUNCAK MAKNA

30. Bagi menjamin perubahan, tekad reformasi yang kita anjurkan mesti terpasak kemas dengan keyakinan bahawa ia mesti diperhebat dengan mencakup langkah-langkah pembaharuan fiskal yang lebih segar dan secara lebih agresif, memungkinkan rombakan institusi serta meningkat tahap keupayaan dan ketangkasan serta mutu perkhidmatan kepada rakyat.

IKHTIAR 1: TANGGUNGJAWAB FISKAL DAN PENGURUSAN HUTANG

31. Justeru, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) telah menetapkan penanda aras yang jelas terkait pengurusan hutang dan defisit fiskal.

32. Kerajaan MADANI mewarisi bebanan hutang yang menggunung. Paras hutang tahun lalu adalah pada 1.2 trilion atau lebih 64 peratus KDNK. Jika termasuk liabiliti, paras hutang telah mencecah 1.5 trilion ringgit atau 80 peratus KDNK. Bagi setiap seringgit pungutan cukai, 16 sen perlu dibelanja hanya untuk membayar faedah hutang; dan ini tidak termasuk hutang pokok.

33. Hutang akan terus meningkat selagi tidak dikurangkan defisit. Maka, langkah-langkah tegas dan berperingkat telah diambil oleh Kerajaan bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten iaitu:

 daripada 5.5 peratus (2022);

 kepada 5 peratus (2023);

 seterusnya anggaran 4.3 peratus (2024);

 dan unjuran 3.8 peratus (2025).

34. Atau dengan erti kata lain, jumlah hutang baharu yang kian menurun:

 daripada sekitar 100 bilion ringgit (2022);

 kepada lebih 90 bilion ringgit (2023);

 seterusnya dianggar 85 bilion ringgit (2024);

 dan unjuran 80 bilion ringgit (2025).

35. Dan lebih bermakna lagi apabila dapat dikurangkan kadar defisit dan pinjaman baharu secara berperingkat setiap tahun membolehkan kita mencapai sasaran jangka sederhana FRA iaitu defisit fiskal pada kadar 3 peratus dan paras hutang di bawah 60 peratus KDNK.

IKHTIAR 2: KUTIPAN HASIL

36. Pada tahun ini, kutipan hasil diunjur semula lebih tinggi iaitu kepada 322 bilion ringgit ketimbang 308 bilion. Kerajaan juga menjangkakan, kutipan hasil tahun 2025 terus meninggi kepada 340 bilion ringgit.

37. Kita bersyukur peningkatan hasil yang nyata. Kendatipun begitu, asas hasil masih rendah, malah antara terendah sementara perbelanjaan subsidi memuncak ke paras tertinggi di rantau Asia.

 Untuk menangani kemelut ini, asas hasil perlu diperluas. Cukai yang dipungut masih antara terendah yakni 12.6 peratus kepada KDNK pada 2023 ketimbang negara tetangga seperti Thailand (16.1 peratus), Filipina (14.1 peratus) dan Singapura (13.7 peratus).

 Lebih jelas, kita menanggung subsidi, insentif dan bantuan mencecah 80 bilion ringgit tahun lalu; yang turut dinikmati golongan kaya dan warga asing.

38. Arakian, reformasi fiskal tahun hadapan akan lebih agresif mencakup peluasan hasil cukai secara progresif dan penyasaran subsidi hanya kepada majoriti rakyat yang memerlukan.

IKHTIAR 3: PELUASAN HASIL CUKAI

 Penambahbaikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan

39. Bagi maksud menambah hasil dan meluaskan asas percukaian, maka Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam.

40. Cukai Jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat. Cukai Jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avocado.

41. Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.

42. Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, Kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan. Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025. Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

 Cukai Dividen

43. Kerajaan bercadang meluaskan asas cukai secara progresif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi 100 ribu ringgit yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025. Ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit.

44. Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan Kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara.

IKHTIAR 4: PENYASARAN SUBSIDI

45. Subsidi dari segi prinsip sepertimana juga sedekah tidak sewajarnya diambil manfaat oleh golongan maha kaya. Selama ini, kita membelanjakan subsidi secara pukal untuk bahan api, elektrik, air, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan hatta barangan asas seperti ayam. Pastinya pendekatan sedemikian tidak munasabah tatkala negara terhimpit dengan bebanan hutang dan asas hasil yang rendah.

46. Seperti yang diungkapkan dengan bijaksana oleh Confucius dalam The Analects: 过而不改,是谓过矣 (Guò ér bù gǎi, shì wèiguò yǐ) Jika berlaku kesilapan, dan kita tidak memperbetulkannya, maka itulah kesilapan yang sebenar. “If you make a mistake and do not correct it, this is a true mistake.”

47. Kesilapan fatal inilah—menurut Confucius—yang telah menjerumuskan kita ke perangkap putaran ganas ‘一错再错’ (yī cuò zài cuò) iaitu mengulangi kegagalan yang sama berulang kali!

48. Justeru, Kerajaan perlu akur untuk mengambil pendekatan berani menyasarkan subsidi supaya tidak lagi dibelanja secara pukal. Langkah ini telah membawa penjimatan bermakna yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain. Umpamanya:

 Penyasaran subsidi elektrik tahun 2023 telah menjana penjimatan 4 bilion ringgit. Penyasaran ini hanya melibatkan pengguna elektrik melebihi 600 kilowatt-jam yang perlu membayar penuh tanpa subsidi sementara 85 peratus rakyat kekal menikmati subsidi elektrik.

 Pelarasan tarif air juga telah dilaksanakan tahun ini sesuai dengan kehendak hampir semua negeri termasuk negeri-negeri pembangkang.

 Harga ayam telah kita apungkan sepenuhnya. Sekarang, Kerajaan tidak lagi perlu membelanjakan 1.2 bilion ringgit setahun untuk subsidi ayam.

 Subsidi diesel telah disasarkan membawa penjimatan sehingga 4 bilion setahun. Bahkan rakyat di bawah meraih manfaat menerusi bantuan tunai BUDI MADANI 200 ringgit sebulan, selain sektor logistik terpilih, nelayan dan pengangkutan awal kekal menikmati diesel bersubsidi. Penyasaran subsidi diesel terbukti berjaya mengekang ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan oleh sektor perniagaan tidak layak. Sejak dilaksanakan, jualan diesel bersubsidi menurun 30 peratus dengan penjimatan lebih 600 juta ringgit sebulan meskipun subsidi masih disediakan untuk pengangkutan awam, nelayan dan sektor logistik. Dan sejak dilaksanakan, harga pam telah dikurangkan 40 sen seliter kepada 2 ringgit 95 sen.

49. Maka, tidak harus timbul sebarang kemusykilan dalam pendekatan ini kerana Kerajaan akan pertahankan kepentingan rakyat terbanyak. Setiap penyasaran subsidi adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing.

 Penyasaran Subsidi Petrol RON95

50. Kenyataan yang tidak dapat dimungkiri adalah bahawasanya, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai 8 bilion ringgit. Seyogia diperingatkan bahawa dana 8 bilion ringgit ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

51. Sehingga kini, harga RON95 Malaysia ialah 2 ringgit 5 sen ketimbang negara tetangga seperti Thailand (5 ringgit 85 sen), Indonesia (3 ringgit 38 sen), Singapura (9 ringgit 2 sen) dan Arab Saudi (2 ringgit 66 sen). Harga yang rendah menyebabkan Kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun 2023 mencecah 20 bilion ringgit.

52. Namun, Kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan. Bagi mengelakkan kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat. Maknanya, Kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah 12 bilion ringgit untuk keperluan 85 peratus rakyat.

53. Kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025. Penjimatan yang dicapai daripada ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

 Penyasaran Subsidi Pendidikan & Kesihatan

54. Matlamat asal penubuhan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah untuk membantu murid cemerlang dan dari keluarga susah serta pedalaman mendapatkan pendidikan terbaik. Subsidi bagi seorang murid SBP mencecah 15 ribu ringgit setahun. Namun, berdasarkan angka terkini, didapati 30 peratus murid dari keluarga berpendapatan tinggi.

55. Begitu juga di peringkat pendidikan tinggi, umpamanya purata yuran pengajian setahun yang dibayar oleh penuntut sarjana muda farmasi ialah 3,000 ringgit ketimbang kos keseluruhan pengajian berjumlah 30 ribu ringgit. Subsidi ini diberikan tanpa mengambil kira pendapatan keluarga.

56. Seandainya subsidi pendidikan dikurangkan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas, kutipan yang diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana SBP dan IPTA tersebut untuk manfaat semua pelajar.

57. Penyasaran subsidi seumpama ini akan turut melibatkan kesihatan awam. Golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital Kerajaan. Penjimatan diraih dapat dimanfaat untuk membiayai peranti perubatan untuk pesakit miskin dan menaik taraf peralatan hospital dan klinik awam.

 Penguatkuasaan

58. Sejak 2022 hingga September 2024, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah hampir 2 bilion ringgit. KPDN dan JKDM disediakan 60 juta ringgit untuk terus membanteras ketirisan wang rakyat.

59. Setakat September 2024, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya memecahkan tembok penguasaan kartel dan penipuan bida melibatkan jumlah penalti dikenakan hampir 600 juta ringgit melibatkan lebih 350 syarikat. Tahun hadapan, MyCC disediakan 27 juta ringgit untuk terus memecahkan tembok penguasaan kartel.

IKHTIAR 5: ANGGARAN PERBELANJAAN 2025

60. Kerajaan terus mengekalkan Belanjawan mengembang meskipun bertekad mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat. Anggaran Belanjawan 2025 adalah yang tertinggi pernah diumumkan iaitu 421 bilion ringgit meliputi 335 bilion ringgit belanja mengurus, 86 bilion ringgit belanja pembangunan, tidak termasuk 2 bilion ringgit simpanan luar jangka.

61. Selain peruntukan pembangunan oleh Kerajaan, projek secara usaha sama awam-swasta (PFI) bernilai 9 bilion ringgit turut dilaksanakan serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat GLIC bernilai 25 bilion ringgit. Ini menjadikan pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 yang berjumlah 120 bilion ringgit.

IKHTIAR 6: PEMBANGUNAN TERANGKUM

62. Sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega. Pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri. Umpamanya:

Perak:

(1) Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) sebagai hab hijau berteknologi tinggi pertama di Asia Tenggara yang diterajui oleh SD Guthrie dan PNB.

(2) Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang.

(3) Lembah Teknologi Tinggi Automatif (AHTV) di Tanjong Malim sebagai hab automotif negara dipacu oleh Proton dan Geely.

(4) Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai hab industri maritim serantau.

Pahang:

(1) Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi melibatkan sungai-sungai di Pahang.

(2) Pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands dengan menaik taraf Jalan Dari Bulatan McDonalds ke Persimpangan Brinchang.

Johor:

(1) Projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong Fasa 3 dari Simpang Renggam ke Machap.

(2) Projek RTS Johor-Singapura yang dijangka beroperasi pada 2027.

(3) Projek Pembinaan Baraj dan Takungan Air Pinggiran Sungai di Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi.

Kelantan:

(1) Projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang.

(2) Projek Pemanjangan Landasan Kapal Terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Melaka:

(1) Pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah.

(2) Pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral.

Perlis:

(1) Projek pembinaan jalan menghubungkan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang serta naik taraf Jalan Persiaran Wawasan, Kangar daripada dua kepada empat lorong.

(2) Projek naik taraf Pos Kawalan dan pembinaan blok baharu di Kompleks ICQS Wang Kelian. Selangor:

(1) Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2.

(2) Pembesaran Pelabuhan Klang ke arah aspirasi sebagai 10 pelabuhan terbaik dunia. Kerajaan turut akan melebarkan jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang.

Kedah:

(1) Pembesaran Kulim Hi-Tech Park yang akan menempatkan syarikat semikonduktor seperti Infineon.

(2) Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Kulim.

Kuala Lumpur:

(1) Membangun Rantau Warisan dengan membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara oleh Khazanah.

(2) Projek Lebuh Raya Laluan Istana – Kiara (LIKE) daripada Jalan Duta ke Jalan Istana.

Negeri Sembilan:

(1) Projek Naik Taraf Jalan Bahau-Keratong, Jempol.

(2) Projek Naik Taraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah.

Pulau Pinang:

(1) Projek LRT Pulau Pinang.

(2) Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

(3) Projek Batu Kawan Industrial Park 3.

Terengganu:

(1) Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus.

(2) Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark, Merchang.

(3) Projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau.

63. Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963. Maka tidak harus dipertikai sebab Sabah Sarawak diberi perhatian khusus. Jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih.

Oleh itu:

 Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing 6.7 bilion ringgit dan 5.9 bilion ringgit.

 Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969. Di bawah MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada 300 juta ringgit ketimbang 16 juta (Sarawak) dan 125.6 juta (Sabah). Mulai 2025, Kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada 600 juta ringgit.

 Sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan SST dengan nilai kontrak 9.7 bilion ringgit. Ini meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau. Sementara, Pan Borneo Sarawak dijangka siap November 2024. Secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak 25.1 bilion ringgit.

 Kerajaan telah memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai 7.4 bilion ringgit. Dua pakej sudah dianugerahkan, manakala baki pakej sebelum hujung tahun.  Kerajaan juga bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos 253 juta ringgit.

 Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan 1 bilion ringgit. Saya memuji kesediaan Sarawak yang mendahulukan pembiayaan bagi pembinaan projek.

IKHTIAR 7: KERJASAMA AWAM-SWASTA

64. Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta atau PIKAS menggariskan hala tuju ampuh dalam memperkukuh hubungan strategik badan awam dan swasta. Tumpuan utama untuk meningkatkan pelaburan swasta sebanyak 78 bilion ringgit dan menjana 900 ribu peluang pekerjaan menjelang 2030.

65. Projek pembangunan akan dilaksanakan dengan mengambil kira elemen ‘pengguna bayar’ bagi meredakan bebanan fiskal Kerajaan. Projek berkepentingan rakyat yang mengguna pakai pendekatan PPP termasuklah:

 Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor;

 Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Pulau Pinang;

 Lebuh Raya WISE dari Gopeng ke Kuala Kangsar, Perak;

 Projek Tanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan MADA Kedah dan Perlis; dan

 Manakala, Lebuh Raya WCE bagi jajaran Banting ke Gelang Patah diberi keutamaan dalam perancangan.

IKHTIAR 8: PERANGI RASUAH

66. Sejak mengemudi negara, semua tahu ketegasan saya dalam soal memerangi rasuah kerana rasuah ialah barah senyap yang menjatuhkan moral rakyat dan keyakinan pelabur. Tidak guna ditetapkan hala tuju ekonomi dan pelbagai dasar sekiranya pelaksanaan masih ditakuk lama – salah guna kuasa, seleweng dana dan mengkayakan kelompok sendiri. Masa depan negara bergantung kepada kejayaan kita membanteras rasuah.

67. Kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya untuk SPRM menyiasat dan mengambil tindakan tegas bagi mengheret pesalah rasuah ke muka pengadilan. Angka menunjukkan peningkatan lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tahun 2023 ketimbang sebelumnya.

68. Bagi tahun hadapan, peruntukan SPRM ditingkatkan kepada 360 juta ringgit ketimbang 338 juta ringgit.

69. Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) telah digubal bagi menghapus segala bentuk rasuah melalui strategi ampuh dan terperinci. Antara ikhtiar lain yang menyusul termasuklah RUU Kebebasan Maklumat dan RUU Perolehan Kerajaan bertujuan memperkasa tatakelola dan kecekapan perkhidmatan awam.

70. “Follow The Public Money Audit”. Akta Audit telah dipinda untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa menyemak dan mengaudit pengurusan dana awam termasuk syarikat yang menerima jaminan Kerajaan. Sejumlah 200 juta ringgit disediakan kepada Jabatan Audit Negara, meningkat ketimbang 173 juta ringgit. Ini sesuai dengan peranan lebih besar bagi memulakan pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat dan entiti yang menerima peruntukan dan jaminan Kerajaan.

IKHTIAR 9: INSTITUSI PARLIMEN

71. Pimpinan MADANI terus memelihara kebebasan Institusi Parlimen. Belanjawan 2025 meningkatkan peruntukan Parlimen kepada 180 juta ringgit ketimbang 166 juta ringgit. Sebahagian peruntukan adalah untuk memperkasa peranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagai wadah semak dan imbang.

72. Sejumlah 20 juta ringgit disediakan untuk menyokong All-Party Parliamentary Group Malaysia Sustainable Development Goals yang merentasi kawasan parlimen dan parti politik.

IKHTIAR 10: REFORMASI PERUNDANGAN

73. Peruntukan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang juga dinaikkan kepada 209 juta ringgit ketimbang 194 juta ringgit, sesuai dengan komitmen reformasi perundangan dan institusi.

74. Lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula. Kerajaan akan membentuk Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui pengemaskinian khususnya undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950 supaya seiring dengan peredaran zaman.

75. Kerajaan akan membentangkan RUU Kredit Pengguna pada Mesyuarat akan datang. Sebuah Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan bagi mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit seperti syarikat pemfaktoran, pemajakan bukan bank dan “Beli Sekarang Bayar Kemudian”.

76. Peranan institusi kehakiman sebagai badan bebas terus diperkasa. Lebih 60 juta ringgit disediakan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman yang menyokong agenda digital.

IKHTIAR 11: REFORMASI INSTITUSI KERAJAAN

77. Entiti Kerajaan dengan peranan hampir sama telah dipusatkan bagi memastikan mandat penubuhan ditunaikan dengan lebih efektif. Ini termasuk penggabungan:

 Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM);

 Perbadanan InvestKL dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA);

 Razak School of Government (RSOG) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); serta

 Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)

78. Terkait tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP):

 Garis Panduan Pengurusan dan Tatakelola BBP telah disediakan supaya badan berkanun mencapai tujuan penubuhan dan tidak tersasar daripada tujuan asal.

 Pejabat Penyelaras Rasionalisasi BBP ditubuhkan bagi menelusuri semula hala tuju BBP, keupayaan kewangan serta pertindihan peranan. Sekitar 544 entiti di bawah ekosistem BBP terlibat dan turut diperluas merangkumi Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).

IKHTIAR 12: ILTIZAM KECEKAPAN PENTADBIRAN

79. Kerajaan MADANI bertekad melaksanakan reformasi perkhidmatan awam yang menjunjung prinsip tatakelola yang baik bagi memacu produktiviti. Rang Undang-undang Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam akan digubal meliputi tiga anjakan besar: mengurangkan birokrasi, mempercepat proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

80. Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menumpukan lima keberhasilan meliputi Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Sinergi Strategik Awam dan Swasta.

 Pasukan STAR

81. Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara bertanggungjawab menyelaras isu-isu berkepentingan rakyat seperti sekolah dan klinik daif, kesesakan di hospital dan kaunter imigresen serta kelancaran urusan perniagaan.

82. Antara pencapaian besar Pasukan STAR termasuklah memendekkan proses kelulusan di bawah Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi. Umpamanya:

 Ikhtiar Kulai Fast Lane telah memendekkan tempoh kelulusan sijil perakuan siap kerja (CCC) kepada 14 hari ketimbang 30 hari dan kelulusan lesen operasi kepada 1 hari ketimbang 30 hari.

 Permit Pembinaan Ekspres di Kulim pula membolehkan kilang dapat beroperasi dalam tempoh 10 bulan ketimbang 24 bulan sebelum ini.

83. Tahun hadapan, 25 juta ringgit disediakan kepada STAR antaranya untuk bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi memperluas Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi di semua agensi 36 Kerajaan. Ini termasuk mengkaji peraturan yang boleh memendekkan proses kelulusan untuk kemudahan rakyat, peniaga dan pelabur.  Mempercepat Urusan Kerajaan

84. Kita mengakui dengan sistem baharu dan pengiktirafan yang Kerajaan berikan, ada perubahan positif melibatkan perkhidmatan Kerajaan hasil sebahagian besar penjawat awam yang dedikasi dalam menjalankan tugas.

85. Adapun, masih terdapat keperluan menambah baik beberapa hal yang dilihat merumitkan rakyat yang mahu berurusan dengan Kerajaan. Ada sesetengah kes terpaksa mengambil cuti untuk menyelesaikan permohonan. Adakala juga perlu beratur panjang untuk nombor giliran dan sekiranya habis, terpaksa datang pada hari lain. Ini belum lagi rakyat dibebankan dengan mengisi pelbagai borang untuk maklumat yang sama.

86. Kerajaan MADANI bertekad menoktahkan permasalahan ini. Iltizam kita supaya tiada lagi keperluan beratur panjang di pejabat Kerajaan, proses permohonan diselesaikan secara dalam talian dan tujuan rakyat ke pejabat Kerajaan hanya untuk mengambil dokumen yang dilulus atau diperbaharui sahaja dengan tarikh temu janji telah ditetapkan dalam talian.

87. Walaupun Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk membantu rakyat, adakalanya ia merumitkan rakyat untuk memohon kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan kriteria yang berbeza. Kerajaan bersetuju membentuk saluran berpusat di UTC bagi membantu rakyat susah untuk memohon bantuan merentasi pelbagai agensi.

88. Urusan Kerajaan melibatkan perniagaan juga perlu dinilai semula. Ini juga satu hal yang merumitkan. Mengapa perlu dibebankan syarikat dengan terpaksa mendaftar secara berasingan dengan KWSP, PERKESO dan HRD Corp sedangkan maklumat pekerja adalah sama? Sebaiknya, pendaftaran syarikat dapat disekalikan. Kerajaan bertegas untuk menelusuri hal ini.

89. Perkhidmatan kaunter-kaunter Kerajaan terus ditambah baik:

 Jabatan Pengangkutan Jalan telah mula menambah 1 jam waktu operasi di kaunter.

 Sebuah UTC akan dibangunkan di Seberang Perai, Pulau Pinang. Semua UTC juga akan dibekalkan dengan Sistem Penggiliran (QMS) supaya rakyat mendapat nombor giliran secara dalam talian sebelum berurusan.

 Ikhtiar Kiosk Sentuhan MADANI akan dilaksanakan dengan menghimpun pelbagai kiosk perkhidmatan Kerajaan di kawasan 38 tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah supaya rakyat boleh berurusan dengan Kerajaan di luar waktu pejabat.

 Sistem iPayment yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia sebagai platform bayaran tanpa tunai akan digunakan di semua kaunter Kerajaan bermula tahun 2025.

 Perkhidmatan Bergerak

90. Perkhidmatan Bergerak terus diperbanyak dengan peruntukan 100 juta ringgit. Ini bagi memenuhi keperluan masyarakat desa dan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan panjang untuk keluar.

 Perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah Sarawak diperluas ke Kampung Pangaraan, Sabah dan Pulau Bruit, Sarawak.

 Klinik bergerak oleh hospital pengajar universiti diteruskan seperti rawatan saringan mamogram oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya.

 Klinik Gigi Bergerak ditambah 9 lagi menjadikan 54 buah di seluruh negara.

 Bank BSN Bergerak ditambah 4 lagi menjadikan 12 buah terutamanya untuk Sabah dan Sarawak bagi memudahkan penyaluran bantuan Kerajaan.

 Perkhidmatan JPN dan mahkamah bergerak juga ditambah baik.

IKHTIAR 13: SEJATI MADANI

91. Sejati MADANI sepertimana diumumkan bahawa setiap pedesaan, miskin bandar, di kampung, pedalaman dan rumah panjang diberi peruntukan antara 50 ribu hingga 100 ribu ringgit. Pendekatan ini merupakan suatu anjakan bagi memperkasa rakyat akar umbi untuk memutuskan sendiri aktiviti ekonomi pilihan mereka. Kerajaan hanya bertindak memantau dan memberi galakan, seraya kekuatan adalah daripada akar umbi.

92. Setakat ini, ikhtiar Sejati MADANI berjaya membenih lebih 6,400 kegiatan ekonomi pedesaan. Umpamanya:

 Kampung Tebuk Haji Dollah, Selinsing, Perak menggunakan tiga dron untuk membaja dan meracun 600 ekar sawah. Ini telah menjimatkan masa petani kepada 20 minit, ketimbang 90 minit sebelum ini.

 Kampung Kuala Bibang, Semporna telah membangunkan teknologi pengeringan hasil laut yang memendekkan masa memproses hasil laut kepada 3 jam ketimbang 3 hari secara tradisional. Ini meningkatkan hasil penduduk kepada 25 ribu ringgit sebulan.

 Kampung Sayong Pinang, Kota Tinggi, Johor dari suku kaum Jakun telah melaksanakan program sewaan bot untuk aktiviti memancing, berkayak dan ATV di perkampungan mereka. Ini telah menambah pendapatan Orang Asli Sayong Pinang mencecah 15 ribu ringgit sebulan.  Projek ikan keli sangkar berjaya menambah pendapatan komuniti Mukim Dusun, Kota Bharu, Kelantan.

93. Tahun hadapan, ikhtiar Sejati MADANI bakal diperhebat dengan jalinan kerjasama yang lebih meluas. Lebih banyak pengurusan tertinggi jabatan akan dilibatkan untuk mengetuai ikhtiar Kampung Angkat MADANI. Universiti dan institusi TVET juga dilibatkan bagi memberi khidmat di peringkat komuniti. Syarikat-syarikat mega diseru untuk terlibat sama dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat yang susah dan memerlukan. Peruntukan keseluruhan 1 bilion ringgit disediakan untuk Ikhtiar Sejati MADANI meliputi: Pertama: 600 juta ringgit untuk merancakkan ekonomi pedesaan di kampung-kampung, bandar-bandar, pedalaman dan perkampungan Orang Asli; manakala jawatankuasa kampung yang akan memutuskan aktiviti ekonomi yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada komuniti masing-masing. Kedua: 200 juta ringgit bagi memperluas Kampung Angkat MADANI di 200 kampung seluruh negara yang diterajui pengurusan kementerian dan jabatan. Ketiga: 100 juta untuk universiti awam turut melaksana Kampung Angkat MADANI serta institusi TVET memberi khidmat TVET seperti baik pulih rumah dan pendawaian elektrik kepada komuniti. Keempat: 100 juta ringgit untuk memperkasa komuniti PPR seluruh negara melalui pelbagai program sosioekonomi. Kelima: Saya amat menerima baik tawaran syarikat sawit utama seperti KLK, IOI, SD Guthrie, TH Plantations dan United Plantations yang sudi untuk mengambil pekebun kecil sawit angkat yang berjiran dengan ladang mereka. Syarikat ini sedia menyediakan bantuan meliputi bekalan benih terkini dan baja terbaik serta pematuhan piawaian mampan.

94. Selanjutnya, proses perolehan bagi projek-projek berkepentingan rakyat akan dimudahcara:

 Had nilai bagi kerja gotong-royong ditingkatkan kepada 200 ribu ringgit ketimbang 100 ribu ringgit;

 Had nilai sebut harga bagi kerja penyelenggaraan dan penggantian lif melibatkan perumahan rakyat dan kuarters dinaikkan sehingga 1.2 juta ringgit;

 Had nilai untuk lantikan terus dan sebut harga bagi semua kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil turut dinaikkan masingmasing kepada 200 ribu ringgit dan 1 juta ringgit sebagai tambahan kepada projek sekolah, klinik daif dan fasiliti kesihatan sedia ada.

IKHTIAR 14: PENGGUNAAN SUMBER YANG OPTIMUM

95. Acapkali berlaku keterlanjuran sama ada melibatkan jabatan, agensi dan syarikat Kerajaan yang agak menonjol. Kita harus peringatkan bahawa dana yang dibelanjakan itu ialah dana rakyat, dan kita hanya pemegang amanah. Atas alasan itu, Kerajaan seharusnya membatalkan perjalanan rombongan 68 pegawai ke satu pameran di Berlin, Jerman baru-baru ini. Soal ini walau nilainya mungkin dianggap kecil, tetapi ia bermakna sekiranya digunakan untuk kepentingan rakyat. Mungkin ada juga yang meremehkan tetapi hal ini yang sering saya peringatkan di peringkat Jemaah Menteri. Arahan ini dipanjangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua entiti Kerajaan meliputi kementerian, jabatan, agensi, syarikat dan badan berkanun.

96. Saya juga mengarahkan untuk mengoptimum sumber termasuk menilai keperluan perjawatan di pejabat perwakilan dan agensi luar negara. JPA dan Wisma Putra telah mengenal pasti 64 daripada 126 pejabat luar negara tidak beroperasi di bawah satu bumbung. Lantaran itu, Kerajaan telah memutuskan agar operasi mereka dipindahkan ke Pejabat Canseri atau digabungkan dengan pejabat berdekatan bagi menjimatkan kos lantas mengoptimumkan sumber.

97. Kerajaan akan meneliti semua ruang dan bangunan yang kosong milik agensi Kerajaan, GLIC dan GLC agar sumber yang tidak digunakan ini akan dimanfaat untuk tujuan prasekolah, taska dan pusat latihan kemahiran. Pasukan STAR akan menelusuri usaha ini.

98. Dalam transformasi digital, paksinya ialah MyDigital ID. Sepertimana kad pengenalan diri, MyDigital ID ialah Aplikasi Tunggal Kerajaan yang memusatkan semua agensi meliputi antaranya PADU, JPJ dan LHDN. Kerajaan terus berusaha meningkatkan kefungsian dan pengalaman pengguna MyDigital ID.

99. Antara kebijakan lain dalam memanfaat sumber Kerajaan termasuklah menyalurkan sebahagian hasil yang diraih daripada penjualan nombor plat khas untuk membantu rakyat susah. Antaranya termasuklah:  Menampung bayaran mendapatkan lesen motosikal oleh 15 ribu anak muda kurang mampu seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.  Memberi bantuan pembelian tiket penerbangan bagi 60 ribu mahasiswa kurang mampu khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman.  Mengedarkan 67 ribu keluarga susah dengan topi keledar secara percuma untuk keselamatan anak-anak.

IKHTIAR 15: KESELAMATAN SIBER

100. Negara-negara yang mencanang kebebasan keterlaluan kini telah mengambil beberapa tindakan untuk mengekang keterlanjuran, termasuk yang menyebabkan kematian melalui aplikasi media sosial. Ancaman siber kini semakin menggugat tata hidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan. Isu scam, pornografi kanak-kanak, pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa ialah isu besar yang mesti dibendung.

101. Transaksi mencurigakan lebih 380 juta ringgit berjaya disekat dalam membendung kes scam di Malaysia. Kendatipun demikian, isu scam masih dilihat parah dengan kes yang kian meningkat.

 Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan 20 juta ringgit.

 Sebuah Portal Fraud Kebangsaan telah diluncurkan sebagai ikhtiar memerangi penipuan dalam talian. Portal ini mempermudah pengesanan transaksi mencurigakan secara automatik.

 Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah telah dipinda bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil oleh badan penguat kuasa untuk mengekang sindiket akaun keldai, pada tahun ini.

102. Bagi mengekang buli siber yang kian merunsingkan, Rang Undangundang Keselamatan Dalam Talian akan digubal. Ini bagi memastikan penyedia perkhidmatan turut bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak.

103. Sesuai dengan komitmen membenteng keselamatan siber negara dan penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan diberi tambahan perjawatan seramai 100 orang dengan tambahan peruntukan 10 juta ringgit.

IKHTIAR 16: MUSIBAH DAN BENCANA 46

104. Kita menghadapi musibah banjir kilat yang melanda ibu kota dan beberapa bandar lain. Sebagai langkah segera, saya telah arahkan untuk penyaluran segera 150 juta ringgit kepada PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kota-kota yang terkesan.

105. Pada masa yang sama pengurusan bencana negara terus ditambah baik di samping menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir melibatkan kerjasama semua kontraktor.

 Peruntukan hampir 600 juta ringgit disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir. Ini termasuk lebih 300 juta ringgit yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

 20 juta ringgit geran padanan disediakan segera kepada Yayasan GLIC dan GLC untuk memperhebat respons dan penyaluran bantuan kepada mangsa di kawasan terjejas banjir.

 PBT serta warga bandar perlu bersama-sama memastikan longkang dan parit tersumbat yang mengakibatkan banjir kilat dapat ditangani segera. Sejumlah 50 juta ringgit disediakan bagi kerja-kerja pembersihan dan naik taraf longkang dan parit. Bagi memastikan pelaksanaan segera, JPS dan PBT dibenar untuk melaksanakan perolehan sehingga 1 juta ringgit melalui kaedah sebut harga atau secara undian dalam kalangan kontraktor G1 hingga G3 berdaftar.

 Setakat ini, Kerajaan telah berjaya menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai 540 juta ringgit. Seterusnya, 12 projek RTB dengan kos 3 bilion ringgit telah dikeluarkan SST dan berjalan mengikut jadual antaranya melibatkan:

o RTB Sungai Damansara, Selangor; o RTB Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah; RTB Sungai Triang, Bera, Pahang;

o RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, Terengganu; dan o Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2, Kota Bharu.

106. Mutakhir ini sering terjadi insiden tanah jerlus dan tanah runtuh. Ini termasuk kejadian menyayat hati yang menimpa seorang wanita warganegara India di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Bagi mengawal kejadian ini daripada berulang, beberapa projek akan dilaksanakan meliputi:

 Lebih 250 juta ringgit untuk membaiki cerun seluruh negara;

 21 juta ringgit untuk mengekang isu tanah jerlus di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis;

 10 juta ringgit bagi melaksanakan Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di jalan-jalan utama sekitar Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.

II. MEMBUGAR EKONOMI KE MEDAN JAYA

107. Negara harus dipacu lebih pantas agar mampu bersaing dengan bergaya. Dasar dan prakarsa baharu yang telah diumumkan perlu ditelusuri dan dilaksanakan dengan berkesan tanpa berlengah. Dasar menaikkan siling bermakna kesungguhan dalam ikhtiar mengangkat ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi. Dan menurut kerangka Ekonomi MADANI, penyegaran ekonomi negara yang mampan berpaksikan teknologi dan daya cipta akan hanya bermakna seandainya ia melimpah dan bermanfaat kepada rakyat dengan kenaikan lantai. Ini bermaksud pendapatan rakyat ditingkatkan termasuk di kalangan golongan profesional, pekerja, pekebun, petani dan nelayan.

IKHTIAR 17: KERANGKA INSENTIF PELABURAN BAHARU

108. Suatu anjakan baharu perlu dilakukan bagi meraih pelaburan lebih bermakna. Pendekatan lama dalam memberi galakan dan insentif kepada pelabur tanpa mengambil kira limpahan ekonomi yang diraih tidak lagi boleh digunakan. Umpamanya, pelaburan pusat data tidak sepatutnya menjadi rebutan sekiranya ia tidak memberi nilai tambah kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan perkongsian kepakaran. Maka, sekarang anjakan segar dan penekanan harus dilakukan supaya galakan yang diberikan dapat memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara dan tidak hanya lebih menguntungkan syarikat pelabur.

109. Kerajaan bersetuju memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi ketimbang insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu. Kerangka ini dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025: Pertama: Bagi meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi E&E melalui aktiviti bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC. Kedua: Bagi menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang AI, potongan cukai khas diberikan kepada IPTS yang membangunkan kursus baharu seperti teknologi digital, AI, robotik, internet kebendaan (IoT), sains data, FinTech dan teknologi mampan. Ketiga: Bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan ekosistem sektor utama, Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan diperkenalkan dengan insentif:

(i) Perbelanjaan perusahaan multinasional (MNE) sehingga 2 juta ringgit setahun diberi potongan cukai dua kali untuk tempoh 3 tahun berturut-turut. (ii) MNE atau pembekalnya yang membuat pelaburan usaha sama dengan pembekal tempatan lain diberi potongan cukai ke atas jumlah pelaburan dibuat. (iii) Pembekal tempatan yang terlibat dalam Ikhtiar ini akan diberi pakej insentif cukai yang bersesuaian berasaskan keberhasilan; dan (iv) Dana padanan pelaburan lebih 100 juta ringgit disediakan melalui platform pendanaan awam ekuiti untuk pengembangan pembekal tempatan dalam sektor E&E, kimia khusus dan peranti perubatan. Keempat: Perkumpulan ekonomi diwujudkan mengikut keistimewaan negeri seperti tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah, industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu. Kelima: Bagi mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu,

Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi. Keenam: Bagi memastikan pelaburan berlandaskan ESG, galakan cukai seperti elaun cukai pelaburan atau pengecualian cukai pendapatan diberikan bagi aktiviti CCUS. Kerangka Insentif Pelaburan Baharu ini akan terus disokong melalui fasilitasi pelaburan yang inklusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara. Langkah ini termasuk memperkenalkan dana pelaburan strategik bernilai 1 bilion ringgit sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini.

110. Kerajaan juga telah menyatakan kesediaan melaksanakan cukai minimum global (GMT) ke atas syarikat multinasional. Kendatipun GMT memberi hasil tambahan, masih terdapat risiko negatif terhadap iklim pelaburan. Dalam mengurangkan kesan GMT, Kerajaan komited untuk memperkemas insentif sedia ada, mewujudkan insentif bukan cukai baharu serta mengkaji kebolehlaksanaan Kredit Cukai Pelaburan Strategik.

111. Bagi memudah cara pelabur strategik, MIDA akan menjadi pihak berkuasa melulus untuk pas penggajian melibatkan graduan bukan warganegara lepasan universiti tempatan bagi memenuhi keperluan modal insan dalam sektor-sektor NIMP.

IKHTIAR 18: PELABURAN STRATEGIK

112. Tahun hadapan, sejumlah 200 juta ringgit disediakan meliputi Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) dan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) bagi menyokong pertumbuhan PKS dan syarikat pertengahan serta menggalakkan pendayaciptaan.

113. GLIC melalui ikhtiar GEAR-uP akan meningkatkan pelaburan langsung dalam negara berjumlah 120 bilion ringgit bagi tempoh 5 tahun dengan 25 bilion ringgit dilaburkan tahun hadapan. Umpamanya:

 KWAP melalui Dana Pemacu 6 bilion ringgit akan memperkukuh pasaran persendirian tempatan meliputi ekuiti persendirian, prasarana dan hartanah. Pelaburan ini untuk merangsang pertumbuhan pengurus dana tempatan melalui model unit kerjasama co-GP dengan 500 juta ringgit mula dilaburkan tahun hadapan melibatkan lapan sektor utama seperti pusat data, peralihan tenaga dan pembuatan canggih.

 Khazanah pula menyediakan 1 bilion ringgit bagi menerajui pelaburan yang menyokong industri semikonduktor tempatan.

114. Kerajaan menyokong pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) tempatan melalui kerjasama dengan negara seperti China dan Australia yang punyai keupayaan teknologi. Sebagai langkah awal, Kerajaan bercadang meminda Akta Pembangunan Mineral 1994 selain memulakan pemetaan potensi sumber REE di seluruh negara.

IKHTIAR 19: SYARIKAT MULA NIAGA

115. Kerajaan akan terus menyokong sepenuhnya pengembangan syarikat mula niaga tempatan. (1) Saudara Azarol Faizi Zakaria Ansari, pengasas BateriKu mula dengan berniaga kecil-kecilan. Meraih manfaat daripada pembiayaan Dana Perintis di bawah KWAP, kini beliau berjaya mengembangkan perniagaan dengan 1.5 juta pelanggan, melatih 1,000 juruteknik gig serta melahirkan 100 usahawan di bawahnya. (2) Syarikat Vitrox bermula secara kecil-kecilan oleh dua jurutera muda lepasan USM. Kini, syarikat ini telah membesar sebagai peneraju bidang elektronik utama dengan menjadi pembekal kepada pasaran asia, eropah dan Amerika Syarikat. (3) Greatech Technology Berhad merupakan syarikat tempatan yang berjaya menembusi pasaran global dalam sektor elektrik dan elektronik dan tersenarai sebagai Forbes Asia’s Best Under A Billion.

116. Pada tahun hadapan:

 National Fund-of-Funds (NFOF) akan ditubuhkan di bawah Khazanah yang beroperasi bulan hadapan dengan dana 1 bilion ringgit. NFOF akan menyokong pengurus dana modal teroka melabur dalam syarikat mula niaga dengan 300 juta ringgit disediakan untuk 2025.

 KWAP di bawah Dana Perintis menyediakan 1 bilion ringgit untuk turut menyokong aktiviti syarikat mula niaga tempatan dengan 200 juta khusus untuk 2025.

 Cradle Fund diperuntukkan 65 juta ringgit bagi membantu syarikat mula niaga berpotensi untuk berkembang ke peringkat serantau dan global. Ini juga termasuk 15 juta ringgit geran padanan sebagai galakan untuk GLC bekerjasama dengan syarikat mula niaga melalui ikhtiar modal teroka korporat.

 Bagi memperkukuh ekosistem modal teroka supaya kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan asing, proses kelulusan aliran dana 56 rentas sempadan di bawah Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing kini dimudah cara dan boleh dibuat berdasarkan jumlah saiz mandat dana.

IKHTIAR 20: DIGITALISASI DAN AUTOMASI

117. Kerangka Dasar transformasi digital yang tegas berjaya menarik pelaburan masuk. Malaysia berjaya meraih pelaburan berjumlah 16.9 bilion dolar Amerika untuk tempoh sehingga 2038 daripada syarikat gergasi teknologi dunia AWS, Microsoft, Google dan Oracle. Ini mencerminkan tahap keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi prasarana awan serantau.

118. Sekarang ialah masa syarikat tempatan merebut peluang pelaburan ini. Manfaat haruslah sampai kepada rakyat meliputi peluang pekerjaan, pembangunan pusat kecemerlangan dan pemerkasaan masyarakat.

119. Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) disediakan 10 juta ringgit bagi mengadun usaha meningkatkan penggunaan AI melalui kerjasama dengan akademia dan industri. 120. Malaysia mengambil langkah berani untuk menjuarai ekonomi digital serantau melalui pengisytiharan penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe). Ini turut dianggotai negara tetangga dalam usaha menggembleng kepakaran dan keselamatan AI di negara masing-masing.

121. Ke arah pelaksanaan sepenuhnya e-Invois pada 1 Julai 2025, Kerajaan bercadang perbelanjaan bagi pembelian peralatan ICT, pakej perisian komputer dan fi perundingan diberikan elaun modal dipercepatkan untuk dituntut sepenuhnya dalam tempoh 2 tahun.

122. Kerajaan juga bercadang melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat awal tahun hadapan bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing. Hasil kutipan levi ini akan disalurkan semula kepada industri bagi merekayasa proses perniagaan ke arah automasi dan mekanisasi.

123. Bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS dengan beralih ke arah pendigitalan:

 50 juta ringgit disediakan sebagai Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran.

 100 juta ringgit juga disediakan oleh SKMM untuk tempoh 5 tahun bagi memperkasa fungsi Pusat NADI di seluruh negara sebagai platform komuniti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan dalam talian.

KHTIAR 21: ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SINGAPURA

124. Memorandum Persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) telah dimeterai pada Januari 2024 menandakan pencapaian besar kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

 Kerajaan meluluskan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat. Pakej galakan cukai bagi Zon Kewangan Khas Forest City turut diumumkan bagi merancakkan aktiviti perkhidmatan kewangan seperti perkhidmatan perniagaan global kewangan dan Fintech.

 Skim Pejabat Keluarga Tunggal telah diluncurkan untuk Zon Kewangan Khas Forest City bagi menggalakkan pengurusan dana Keluarga. Bagi menjayakan pengoperasian Pejabat Keluarga, Suruhanjaya Sekuriti akan berperanan sebagai pihak berkuasa melulus untuk pemberian Pas Residen serta Pas Penggajian kepada masing-masing Pelabur Keluarga Pengasas dan profesional pelaburan Pejabat Keluarga berkaitan.

 Bagi memacu pertumbuhan JSSEZ sebagai zon ekonomi khas yang mampan, Kerajaan juga akan menyediakan insentif khas yang boleh menarik pelaburan berkualiti dan menawarkan pekerjaan bernilai tinggi. Insentif khas ini akan diumumkan menjelang akhir tahun ini.

 Invest Malaysia Facilitation Centre – Johor (IMFC-J) juga sedang ditubuhkan bagi memudah cara pelaburan di JSSEZ. Pusat ini bertujuan mengurangkan birokrasi di pelbagai peringkat bagi mempercepat kelulusan.

IKHTIAR 22: SOKONGAN PASARAN EKSPORT

125. Jumlah perdagangan bagi tempoh Januari-Ogos 2024 melonjak 10.2 peratus kepada 2.14 trilion ringgit. Kita meraih lebihan dagangan bagi 53 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

126. Pemberdayaan PMKS akan terus diperhebat bagi menyokong usahawan tempatan menembusi pasaran eksport.

 Khazanah akan melancarkan Program Syarikat Mid-Tier dengan dana 1 bilion ringgit bertujuan menyediakan pembiayaan yang menyokong pembinaan keupayaan syarikat tempatan.

 Bagi mendorong para pengeksport tempatan memperluas operasi mereka ke pasaran luar, 750 juta ringgit disediakan di bawah Skim Insentif Pemampanan Pengeksport oleh EXIM Bank.

 40 juta ringgit juga disediakan di bawah MATRADE sebagai geran bayaran balik bagi membantu pengeksport Malaysia mempromosi produk dan perkhidmatan buatan Malaysia di 60 pentas antarabangsa khususnya meneroka pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin, Timur Tengah.

127. Dalam memacu sektor logistik:

 Kerajaan bercadang supaya syarikat logistik yang menjalankan aktiviti kompleks logistik pintar diberi elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh 5 tahun. Ini bagi meningkatkan kapasiti industri logistik dengan mengadaptasi teknologi IR4.0.

 Kerajaan turut bersetuju untuk membina dan menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang, Selangor dengan kos 107 juta ringgit.

IKHTIAR 23: TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

128. Persiapan rapi dilakukan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Hampir 550 juta ringgit disediakan bagi mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan merangkumi:

 persediaan Tahun

- Advertisement -spot_img

Artikel Terkini