GEORGE TOWN – Kerajaan disaran memberi perhatian terhadap tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat dengan memastikan harga makanan dan barangan keperluan asas tidak terus meningkat menerusi Belanjawan 2027.Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NB Subbarow berkata, langkah mengenakan cukai tambahan terhadap makanan serta bahan rempah yang diimport perlu dielakkan kerana kos tersebut akhirnya berkemungkinan dipindahkan kepada pengguna.Menurutnya, sebahagian bahan makanan dan rempah perlu dibawa masuk dari India serta beberapa negara lain berikutan bekalan tempatan yang terhad.”Kerajaan perlu memastikan harga barang tidak terus meningkat. Jangan tambahkan cukai terhadap makanan atau rempah import yang digunakan dalam penyediaan makanan kerana ia akan meningkatkan kos peniaga.”Apabila kos meningkat, pengguna pula yang akhirnya terpaksa membayar harga lebih tinggi. Perkara ini lebih dirasai golongan berpendapatan rendah yang perlu berjimat dalam perbelanjaan harian,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.Beliau menambah, kesan kenaikan harga bahan mentah turut boleh dirasai di premis makanan apabila pengusaha terpaksa menyesuaikan harga menu bagi menampung peningkatan kos operasi.Menurutnya, keadaan itu memberi tekanan tambahan kepada pengguna memandangkan sebahagian masyarakat kini bergantung kepada makanan yang dibeli di luar.”Jika bahan mentah semakin mahal, harga makanan di restoran juga berkemungkinan meningkat. Pengguna akhirnya perlu mengeluarkan lebih banyak wang untuk mendapatkan makanan yang sama,” katanya.Pada masa sama, Subbarow mencadangkan kerajaan mempertimbangkan peningkatan cukai rokok sebagai antara langkah mengurangkan tabiat merokok serta membantu isi rumah menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik.Katanya, pengurangan perbelanjaan terhadap rokok membolehkan wang berkenaan digunakan bagi memenuhi keperluan asas lain termasuk makanan dan ubat-ubatan.”Jika harga rokok meningkat, perokok mungkin akan mengurangkan pembelian dan wang yang sebelum ini digunakan untuk rokok boleh disalurkan kepada keperluan keluarga,” katanya.Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kadar cukai lebih tinggi dikenakan terhadap produk vape bagi mengurangkan kecenderungan golongan pelajar mendapatkan produk berkenaan.Menurutnya, harga vape yang lebih tinggi boleh menjadi salah satu faktor yang membuatkan golongan muda berfikir semula sebelum membelinya terutama apabila produk itu mudah diperoleh dan boleh dibeli secara berkongsi dengan rakan.”Kalau harganya meningkat, pelajar mungkin lebih berkira-kira untuk membeli vape.”Ini boleh membantu mengurangkan akses mereka kepada produk tersebut,” katanya.


