BILA dengar berita pelaburan berbilion ringgit, kita mungkin bertanya apa kena-mengena dengan hidup kita. Di rumah, perkara yang difikirkan lebih dekat. Cukup atau tidak gaji bulan ini? Anak yang habis belajar sudah dapat kerja?Soalan itu munasabah. Sebuah keluarga perlu membayar sewa, membeli barang dapur dan menyediakan belanja sekolah. Berita ekonomi menjadi lebih bermakna apabila mereka boleh melihat kaitannya dengan semua urusan ini.Sebab itu, cerita GEAR-uP elok bermula dari rumah. Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) ini menggerakkan pelaburan institusi negara untuk membina perniagaan dan keupayaan ekonomi Malaysia.Bagi orang ramai, kita boleh melihatnya melalui tiga perkara yang mudah difahami. Pendapatan yang lebih baik, peluang anak memasuki alam pekerjaan dan kegiatan ekonomi yang berkembang di tempat sendiri.Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026 memberikan gambaran awal. Sehingga Disember 2025, sebanyak 91.7 peratus daripada 206,987 pekerja tetap rakyat Malaysia di enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah mereka memperoleh sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan.RM3,100 itu ialah penanda aras gaji kehidupan wajar yang digunakan dalam laporan tersebut. Angka 91.7 peratus pula merujuk kumpulan pekerja berkenaan. Masih ada pekerja dalam kumpulan itu yang belum mencapai tahap tersebut.RM3,100 membawa makna berbeza mengikut keadaan keluarga. Orang bujang yang tinggal bersama ibu bapa dan pasangan yang menyewa rumah serta mempunyai dua anak tentu menghadapi belanja yang berbeza.Namun, pendapatan lebih baik boleh memberi sedikit ruang. Ada baki untuk kecemasan, membaiki motosikal atau membeli keperluan sekolah tanpa perlu menangguhkannya sehingga gaji berikutnya.Menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat 9 Oktober ini, soal pendapatan tentu dekat dengan fikiran banyak keluarga. Mereka mahu belanja harian dapat ditampung, sambil berharap ada peluang untuk memperbaiki kehidupan.Bantuan boleh meringankan belanja semasa. Pekerjaan yang baik dan pendapatan yang bertambah pula membantu keluarga merancang lebih jauh. Usaha seperti GEAR-uP wajar dilihat bersama langkah belanjawan yang menyokong latihan, perniagaan dan peluang pekerjaan.Menurut laporan kemajuan itu, K-Youth menempatkan 9,934 belia Malaysia bekerja pada 2025. Bernama turut melaporkan sekitar 35,000 belia telah dilatih sejak 2023, dengan kadar kebolehpasaran 83 peratus sejak program bermula.Bagi ibu bapa, penempatan itu membawa kelegaan. Selepas itu, mereka mahu anak terus bekerja, menggunakan kemahiran yang dipelajari dan mempunyai peluang naik gaji. Perkembangan peserta selepas latihan juga wajar dilaporkan supaya manfaatnya boleh diikuti.Gaji juga perlu dilihat bersama tempat seseorang bekerja. Tawaran kerja jauh dari rumah mungkin menarik, tetapi anak perlu mengira sewa bilik, tambang dan belanja harian sebelum tahu berapa yang boleh disimpan.Sebab itu, lebih banyak peluang di negeri sendiri boleh membuat perbezaan. Anak muda di Sabah dan Sarawak patut mempunyai pilihan membina kerjaya berhampiran keluarga, jika itu yang mereka mahukan.Pembangunan lapangan terbang boleh membantu melalui pelancongan dan perdagangan. Rancangan peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menyasarkan kapasiti 12 juta penumpang setahun berbanding sembilan juta sekarang.Kedua-duanya masih perlu dilihat mengikut kemajuan pelaksanaan. Peluang kepada penduduk boleh datang melalui pekerjaan di hotel, pengangkutan, kedai makan dan perniagaan membekalkan barangan, dengan latihan serta ruang penyertaan untuk tenaga kerja dan peniaga tempatan.Apabila kegiatan perniagaan berkembang di tempat sendiri, anak mempunyai lebih banyak pilihan kerja. Ibu bapa yang berniaga kecil-kecilan pula berpeluang menambah pelanggan. Manfaat seperti inilah yang menghubungkan pembangunan dengan kehidupan keluarga.Apabila Belanjawan 2027 dibentangkan, perhatian biasanya tertumpu pada jumlah peruntukan dan bantuan. Selepas itu, keluarga mahu tahu bagaimana langkah yang diumumkan sampai kepada mereka.Peruntukan belanjawan dan modal pelaburan GLIC datang daripada sumber yang berbeza. Namun, pelaksanaannya boleh saling menyokong, misalnya apabila latihan menyediakan tenaga mahir untuk perniagaan yang sedang berkembang.Laporan kemajuan GEAR-uP menyediakan angka permulaan untuk rakyat mengikuti hasilnya. Pada laporan berikutnya, kita boleh membandingkan liputan gaji kehidupan dan penempatan belia, serta melihat perkembangan projek yang masih dirancang.Jika pencapaian tidak bertambah atau pelaksanaan tertangguh, kerajaan dan institusi terlibat perlu menjelaskan sebabnya serta langkah seterusnya. Rakyat sudah mempunyai ukuran yang diterbitkan untuk menilai kemajuan dan penjelasan itu sebahagian daripada tanggungjawab pelaksanaan.Kepercayaan lebih mudah dibina apabila hasil boleh ditunjukkan dan perkara yang belum selesai turut dijelaskan. Bagi keluarga, ukurannya tetap dekat: pendapatan bertambah, anak mendapat pekerjaan yang sesuai dan peluang mencari rezeki semakin luas.Itulah yang mahu mereka lihat selepas pembentangan belanjawan. Apabila perubahan itu mula dirasai di rumah, keluarga akan memahami sendiri mengapa pelaburan negara penting kepada kehidupan mereka.


